Utusan Borneo (Sarawak)

AirAsia catat faktor bebanan 87 peratus pada suku pertama 2018

-

KUALA LUMPUR: AirAsia Group Bhd merekodkan faktor bebanan sebanyak 87 peratus pada suku pertama berakhir 31 Mac, 2018, turun dua mata peratusan daripada tempoh yang sama 2017.

Dalam kenyataan mengenai perangkaan operasinya yang dikeluarka­n semalam, syarikat penerbanga­n tambang rendah itu berkata kapasiti tempat duduknya meningkat 19 peratus tahun ke tahun pada suku yang dinilai.

AirAsia berkata pada suku pertama 2018, jumlah keseluruha­n pesawatnya meningkat kepada 123, merangkumi 87 di Malaysia, 15 di Indonesia (PT AirAsia Indonesia Tbk) dan 21 di Filipina (Philippine­s AirAsia Inc).

“Operasi Malaysia menambah kekerapan bagi 13 laluan, iaitu tujuh dari Kuala Lumpur, lima dari Kota Kinabalu dan satu dari Johor Bahru,” menurut syarikat itu.

Indonesia pula memulakan operasi bagi tiga laluan baharu iaitu dua dari Medan dan satu dari Padang manakala Filipina menawarkan perkhidmat­an penerbanga­n bagi empat laluan baharu, yang kesemuanya dari Lapangan Terbang Antarabang­sa Clark sejak menjadikan lapangan terbang itu sebagai hab.

AirAsia juga berkata Thai AirAsia mencatatka­n faktor bebanan sebanyak 91 peratus pada suku pertama 2018, meningkat dua mata peratusan daripada suku yang sama 2017.

Bagi AirAsia India, syarikat penerbanga­n itu berkata faktor muatannya susut enam mata peratus tahun ke tahun kepada 83 peratus pada tiga bulan pertama tahun ini, manakala AirAsia Japan mencapai faktor bebanan 79 peratus pada tempoh yang sama, meningkat 15 mata peratusan suku ke suku. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia