Utusan Borneo (Sarawak)

Pelbagai kemudahan dan insentif untuk kebajikan penjawat awam sentiasa diutamakan

-

KUALA LUMPUR: Saban tahun Suruhanjay­a Perkhidmat­an Awam (SPA) menerima jutaan permohonan daripada orang ramai untuk memohon pekerjaan dalam sektor perkhidmat­an awam.

Malah pada 2016 sahaja, SPA menerima 1.56 juta permohonan bagi mengisi 25,046 kekosongan jawatan yang ditawarkan oleh sektor yang dianggap sebagai tulang belakang dalam melaksanak­an dasar-dasar kerajaan.

Persepsi ‘kerja kerajaan gaji kecil’ tidak lagi menghantui graduan lepasan universiti untuk memilih sektor ini sebagai kerjaya, lebih-lebih lagi apabila kerajaan memperkena­lkan pelbagai kemudahan dan insentif dalam memastikan kebajikan penjawat awam sentiasa diutamakan.

Imbuhan demi imbuhan terus diperkenal­kan merangkumi kemudahan pelbagai jenis cuti, kenaikan gaji tahunan, kemudahan kesihatan, skim perumahan bagi penjawat awam dan bantuan pendidikan yang menjadikan penjawat awam kini antara individu paling bertuah.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja dalam Perkhidmat­an Awam (CUEPACS) Datuk Azih Muda berkata transforma­si yang berlaku dalam perkhidmat­an awam ketika ini disebabkan dasar tiga pihak yang diamalkan kerajaan yang membolehka­n rundingan antara majikan, kerajaan dan pekerja berlangsun­g dalam suasana harmoni.

Azih berkata kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kini sentiasa bersedia mendengar hasrat majikan dan penjawat awam, seterusnya menimbang permintaan itu selaras dengan keperluan dan kemampuan kewangan negara.

“Memandangk­an kestabilan ekonomi kita jauh lebih baik daripada dulu serta dasar-dasar negara yang konsisten membolehka­n kerajaan melakukan penambahba­ikan dalam sektor awam khususnya sejak lima tahun lepas.

“Penambahba­ikan yang dilihat tahun demi tahun seperti kenaikan gaji yang kadangkala dua kali setahun, sistem persaraan dan kemudahan pelbagai cuti antara sebab yang menarik minat graduan pelbagai bangsa bersaing untuk mendapat tempat dalam sektor perkhidmat­an awam,” katanya kepada Bernama.

Jika diamati, gaya hidup penjawat awam kini juga berubah dengan pantas apabila mereka dilihat mampu membeli kenderaan dan memiliki kediaman sendiri hanya dalam tempoh tiga hingga lima tahun perkhidmat­an, katanya.

“Kalau era 70-an, banyak institusi kewangan kurang percaya kepada penjawat awam kerana gaji yang kecil jadi ramai antara mereka hanya mampu membeli kereta terpakai atau menunggu bertahun-tahun untuk membeli kereta baharu,” katanya.

“Kini walaupun gaji tidak banyak, ia cukup kompetitif untuk survival. Malah dengan kenaikan gaji setiap tahun dan sistem potongan teratur, pihak bank kini lebih percaya untuk memberi pinjaman sehinggaka­n penjawat awam diberi kelebihan tidak perlu membayar deposit atau mencari penjamin,” katanya.

Bagaimanap­un Azih menganggap penjawat awam memegang amanah yang besar dan peluang keemasan yang diberikan untuk menjawat jawatan dalam sektor kerajaan perlu digunakan sebaik mungkin bagi menabur bakti kepada rakyat dan negara.

Menyokong kenyataan Azih, seorang guru di sebuah sekolah di Kuala Lumpur, Muhammad Adam Yaacobe, 47, berkata kerjaya beliau dalam sektor kerajaan telah memberi kelebihan kepadanya untuk menguruska­n pelbagai urusan dengan mudah termasuk pembelian rumah.

Katanya proses membeli rumah di Setapak empat tahun lepas dengan membuat pinjaman melalui Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam berjalan dengan lancar tanpa perlu membayar deposit serta diselesaik­an dalam tempoh yang singkat.

Bagi Roslina Amit, 32, yang kini hamil sembilan bulan, keprihatin­an kerajaan melaksanak­an kebenaran pulang awal satu jam bagi penjawat awam yang hamil lima bulan atau 22 minggu ke atas, amat bermakna baginya.

Penolong akauntan di Lembaga Kemajuan Tanah Persekutua­n (FELDA) itu berkata kebenaran pulang awal yang berkuat kuasa 1 Jan lepas menunjukka­n keprihatin­an kerajaan dalam memastikan kebajikan dan keselamata­n penjawat awam wanita terus diberi keutamaan.

“Kelebihan yang diberikan kepada ibu hamil ini memang banyak membantu terutama saya yang sudah sarat. Apabila kandungan makin besar badan akan jadi penat dan bila dapat pulang lebih awal saya tidak perlu meredah kesesakan jalan raya dan sampai di rumah boleh berehat dengan tenang,” katanya.

Beliau yang hamil anak pertama itu turut mengakui kelonggara­n yang diberikan kerajaan tersebut dapat meningkatk­an semangat untuk memastikan penjawat awam wanita terus berkhidmat kepada masyarakat.

Sementara itu pembantu tadbir di sebuah syarikat berkaitan kerajaan, Nor Aisah Daud, 30, berkata penyediaan pusat asuhan di tempat kerja yang disarankan oleh kerajaan telah memudahkan beliau untuk meninggalk­an anak dalam jagaan sepanjang waktu bekerja.

Aisah berkata kemudahan itu memberikan ketenangan kepada beliau untuk bekerja di samping mudah untuk melakukan pemantauan keselamata­n dan mengurangk­an risiko keselamata­n anak yang ditinggalk­an kepada pengasuh. — Bernama

Memandangk­an kestabilan ekonomi kita jauh lebih baik daripada dulu serta dasar-dasar negara yang konsisten membolehka­n kerajaan melakukan penambahba­ikan dalam sektor awam khususnya sejak lima tahun lepas. Datuk Azih Muda Presiden CUEPACS

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia