Utusan Borneo (Sarawak)

SPRM tahan Datuk Seri disyaki minta rasuah

-

KUALA LUMPUR: Seorang jurutera perunding bergelar Datuk Seri ditahan Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM) selepas disyaki meminta rasuah daripada seorang bekas ketua pengarah sebuah agensi kerajaan yang kononnya disiasat SPRM.

Lelaki itu meminta wang bagi menyelesai­kan kes SPRM yang didakwa dihadapi bekas ketua pengarah berkenaan.

Menurut sumber SPRM, lelaki berusia 49 tahun itu ditahan di Bandar Baru Bangi pada jam 12.45 tengah hari, kelmarin.

Katanya lelaki itu telah memaklumka­n kepada bekas ketua pengarah berkenaan bahawa dia dan beberapa lagi pegawai agensi kerajaan terbabit sedang disiasat oleh SPRM.

“Pada pertengaha­n bulan ini, lelaki itu telah berjumpa dengan individu terbabit di sebuah restoran di ibu negara.

Dalam pertemuan itu, dia ( suspek) dikatakan dapat menyelesai­kan kes yang dihadapi individu terbabit kerana mengenali pengurusan tertinggi SPRM yang akan membantuny­a,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini semalam.

Sumber itu berkata lelaki berkenaan juga menawarkan bantuan bagi mendapatka­n gelaran Datuk Seri dari negeri Pahang kepada individu itu.

Lelaki itu meminta wang sebanyak RM1.8 juta untuk kedua-dua tujuan berkenaan. Dia direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjay­a (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahka­n tangkapan tersebut.

Beliau berkata tindakan individu menggunaka­n nama pengurusan tertinggi SPRM untuk mendapatka­n wang bukanlah kejadian pertama berlaku.

“Justeru, kami tidak akan membenarka­n mana-mana individu mencemarka­n nama baik serta reputasi SPRM dan tindakan sewajarnya akan diambil ke atas mereka yang terlibat.

“Saya meminta orang ramai agar tidak terperdaya dan sekiranya terdapat manamana individu menyatakan anda disiasat oleh kami (SPRM), sebaiknya hubungi SPRM terdahulu untuk mengesahka­n perkara terbabit,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia