Utusan Borneo (Sarawak)

BN tidak ambil mudah DUN Penaga

-

KEPALA BATAS: Barisan Nasional ( BN) tidak akan mengambil mudah atau berasa selesa di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Penaga walaupun pencalonan Yaakob Osman dari PPBM ditolak Suruhanjay­a Pilihan Raya semasa penamaan calon kelmarin.

Penyandang kerusi Parlimen Kepala Batas Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata apa yang penting ialah mendapatka­n semua mandat rakyat dengan kemenangan yang lebih besar.

“Kami tidak boleh anggap sudah memang kerana dia (Yaakob) hilang kelayakan.

“Hakikatnya kami hendak menang kerana memang benar kami menang, memang rakyat nak pilih kami, kalau rakyat nak pilih kami ia bukan sehari dua, kena ada rasa,” katanya selepas program Semarak Perpaduan di Hati di pekarangan Dewan PRT, Taman Bertam Indah di sini semalam.

DUN Penaga adalah satu daripada tiga kawasan dewan undangan negeri di bawah Parlimen Kepala Batas. Kelmarin pencalonan Yaakob dari PPBM ditolak kerana mempunyai rekod muflis, menjadikan pertanding­an satu lawan satu di DUN itu antara calon BN Datuk Mohd Zain Ahmad dan Mohd Yusni Mat Piah (PAS) pada Pilihan Raya Umum Ke14 (PRU14) 9 Mei ini.

Reezal Merican berkata bukan pertanding­an dua, tiga atau empat penjuru yang difikirkan tetapi yang paling penting ialah apa yang rakyat rasa dan apa yang telah dilakukan penyandang kerusi tiga DUN di bawah parlimen itu.

Parlimen Kepala Batas dan tiga kerusi DUN – Penaga, Bertam dan Pinang Tunggal – dimenangi calon-calon BN-UMNO pada pilihan raya umum lepas (PRU13). Kesemua penyandang kerusi DUN dan parlimen itu dicalonkan semula pada PRU14.

Beliau berkata apa yang penting ialah rakyat di Kepala Batas merasai dan mengingati khidmat yang telah diberikan kesemua wakil rakyat BN itu.

Pada PRU14 ini Reezal Merican akan ditentang Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS negeri Siti Mastura Mohamad dan calon PKRAMANAH Dr Zaidi Zakaria, seorang pakar perunding kanak-kanak. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia