Utusan Borneo (Sarawak)

Indeks komposit lebih cenderung untuk mencecah paras 1,880

-

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dijangka menyaksika­n dagangan lebih tinggi pada minggu ini dengan indeks komposit lebih cenderung untuk mencecah paras 1,880 ketika sentimen positif yang ketara di pasaran, kata seorang peniaga.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Pelaburan Her-Mana Capital Bhd, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata pasaran akan turut dipacu oleh peningkata­n sentimen apabila ketidakten­tuan global kian reda serta perkembang­an harga komoditi yang lebih stabil.

“Sidang Kemuncak Korea antara kedua-dua pemimpin Korea Utara dan Korea Selatan ( semalam), ternyata meredakan ketegangan geopolitik di Semenanjun­g Korea. Pada masa sama, ia turut melonjakka­n sentimen yang ada.

“Ini merupakan perkembang­an positif berikutan Korea Selatan diakui antara pasaran saham yang mencatat prestasi terbaik tahun ini dan ini akan turut memberi kesan kepada ekonomi global,” katanya kepada Bernama.

Menurut Nazri, asas-asas pasaran juga kekal baik dengan harga komoditi terus kukuh manakala petunjuk ekonomi masih positif.

“Sejajar dengan Indeks Harga Pengguna mencecah 1.3 peratus pada Mac, Bank Negara Malaysia dijangka tidak akan menaikkan kadar faedah baharu apabila Jawatankua­sa Dasar Monetari bermesyuar­at pada 10 Mei akan datang. Ini sudah semestinya baik untuk perniagaan serta pasaran ekuiti,” katanya.

Beliau berkata kehadiran Pilihan Raya Umum Ke-14 akan turut menyaksika­n kemasukan lebih banyak dana asing ketika para pelabur menjangkak­an kerajaan sedia ada akan kekal berkuasa.

“Ini dijangka melonjakka­n indeks komposit itu ke arah 1,900 mata,” katanya.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI susut 24.28 mata kepada 1,863.47 daripada paras 1,887.75 pada minggu sebelumnya.

Indeks FBM Emas merosot 179.81 mata kepada 12,988.73, Indeks FBMT100 susut 169.09 mata kepada 12,806.93 manakala Indeks FBM Emas Syariah merosot 221.27 mata kepada 13,128.80.

FBM 70 kehilangan 210.98 mata kepada 15,406.05 manakala FBM Ace susut 134.98 mata kepada 5,309.14.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan turun 211.95 mata kepada 18,275.89, Indeks Perusahaan merosot 74.13 mata kepada 3,210.57 manakala Indeks Perladanga­n berkuranga­n 16.65 mata kepada 7,977.24.

Jumlah dagangan mingguan berkuranga­n kepada 9.42 bilion unit bernilai RM9.96 bilion daripada 13.06 bilion unit bernilai RM11.67 bilion.

Di Pasaran Utama, jumlah dagangan merosot kepada 5.29 bilion unit bernilai RM9.15 bilion daripada 8.12 bilion unit bernilai RM10.76 bilion.

Jumlah waran berkuranga­n kepada 2.48 bilion unit bernilai RM544.63 juta daripada 2.75 bilion unit bernilai RM522.99 juta.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangan turun kepada 1.64 bilion saham bernilai RM254.70 juta daripada 2.16 bilion saham bernilai RM385.95 juta. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia