Utusan Borneo (Sarawak)

BN boleh bangunkan lagi sektor pertanian, perikanan DUN Bugaya

-

SEMPORNA: Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya Datuk Abdul Razak Tun Sakaran mahu meningkatk­an lagi sektor pertanian dan perikanan di kawasan itu jika diberi mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini.

“Saya akan menyusun semula projek-projek pertanian yang ada di DUN Bugaya bagi menjana ekonomi baharu.

“Ini penting kerana setiap kampung di DUN ini perlu ada penjanaan ekonomi dan BN akan berusaha memperkaya­kan ekonomi di setiap kampung,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Semporna di sini, semalam.

Katanya beliau melihat potensi penanaman nanas bermutu tinggi di setiap kampung di Bugaya memandangk­an tanaman itu mendapat permintaan besar termasuk dari China.

Bagi sektor perikanan, Abdul Razak berkata beliau selaku Anggota Lembaga Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan mengerakka­n platform untuk membantu meningkatk­an taraf hidup komuniti nelayan di Semporna termasuk di Bugaya.

“Penduduk sekitar pantai seperti di Kampung Air dan Kampung Lihak- Lihak merupakan nelayan tegar dan perlu dibantu seperti pemberian insentif nelayan,” katanya.

Menurutnya kerajaan menerusi Kementeria­n Pertanian dan Industri Asas Tani juga telah meluluskan permohonan pembinaan jeti pendaratan ikan di pekan Semporna pada Mac lalu.

Sementara itu, Abdul Razak berkata beliau tidak gentar dengan mana-mana calon DUN Bugaya kerana yakin Manifesto BN merangkumi semua perkara yang akan menjadi parameter bagi pengundi membuat pilihan.

Pada pilihan raya itu, Abdul Razak akan menentang ibu saudaranya Manis Muka Mohd Dara (Warisan) dalam pertembung­an enam penjuru.

Calon lain ialah Mahamod Sarahil (PAS), Kuli Maralang dari Parti Kebangsaan Sabah (PKS), Abdul Muksin Mohd Hassan (Bebas) dan Mohd Said Tiblan dari Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS). — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia