Utusan Borneo (Sarawak)

Kes bunuh Bill Kayong, keterangan bela diri tertuduh pertama didengar 21-25 Mei

-

MIRI: Mahkamah Tinggi menetapkan lima hari bermula 21 hingga 25 Mei ini untuk mendengar keterangan bela diri tertuduh pertama, Mohamad Fitri Pauzi dalam kes bunuh aktivis sosial, Bill Kayong.

Penetapan tarikh itu dibuat Penolong Kanan Pendaftar Md Syafique Md Hilmie di dalam kamarnya setelah membenarka­n permohonan yang dikemukaka­n Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Aftal Mariz bagi mewakili TPR Mohd Fuad Abdul Aziz yang memohon ditetapkan tarikh baharu untuk mendengar keterangan bela diri Mohamad Fitri.

Mohamad Fitri Pauzi, 30, dari Jalan Dawai 1 Pujut 4D di sini telah didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan melakukan pembunuhan hingga menyebabka­n kematian Bill Kayong.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada jam 8.20 pagi, 21 Jun 2016 di persimpang­an lampu isyarat berhampira­n Pasar Raya Emart, Jalan Kuala Baram Bypass di sini.

Pada 6 Jun 2017, Hakim Ravinthan N.Paramaguru mendapati pihak pendakwa berjaya mengemukak­an kes prima facie terhadap Fitri dalam kes ini, justeru memerintah­kannya supaya membela diri.

Pada tarikh sama, beliau memutuskan agar tertuduh Lie Chang Loon, Chin Wei Chung dan Datuk Stephen Lee Chee Kiang yang masing-masingnya merupakan tertuduh kedua, ketiga dan keempat dibebaskan dan dilepaskan dari tuduhan bersubahat membunuh Bill Kayong setelah mendapati tiada bukti kukuh yang dapat mengaitkan mereka dengan kesalahan didakwa.

Bagi kesalahan itu, Lie, 38, dari Taman Pin Fook; Chin, 51, dari Lorong 5 Krokop dan Datuk Stephen Lee, 45, dari Jalan Woodhouse, Tanjong Lobang di sini masing-masing didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 302 kanun sama yang turut memperuntu­kkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Dalam kes itu, ketiga-tiga tertuduh telah dituduh bersubahat dengan seorang lagi yang masih bebas mengupah Mohamad Fitri Pauzi untuk membunuh Bill Kayong.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada masa dan di tempat yang sama.

Mahkamah kemudian memerintah­kan Fitri ditahan lanjut di Penjara Pusat Miri sementara menunggu tarikh tersebut.

Hadir sama semalam ialah peguam bela Ranbir Singh yang mewakili tertuduh dan Majen Panyog selaku peguam pemerhati bagi pihak keluarga Bill.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia