Utusan Borneo (Sarawak)

Ketua jurugambar AFP antara 10 wartawan maut

Bom kedua sasar wartawan di Kabul dikecam pelbagai pihak, IS mengaku bertanggun­gjawab

- DUNIA

KABUL: Sepuluh wartawan termasuk ketua jurugambar Agence France-Presse (AFP) di Kabul, Shah Marai, merupakan antara puluhan orang yang maut dalam beberapa serangan di Afghanista­n kelmarin, hari paling berdarah bagi media di negara itu sejak 2001.

Serangan itu menarik tumpuan kepada bahaya yang dihadapi wartawan di negara bergolak itu, di mana keganasan semakin meningkat selepas puak Taliban bangkit semula dan menggiatka­n lagi kempen mereka sementara kumpulan Daesh (IS) semakin mencapai kemajuan.

Dua bom nekad di Kabul mengorbank­an 25 orang, termasuk Marai bersama sekurang-kurangnya lapan wartawan lain, dan mencederak­an 49 orang lagi.

Kumpulan ‘ Reporters Without Borders’ menyifatka­nnya sebagai serangan tunggal paling membawa padah ke atas media sejak kejatuhan puak Taliban.

IS mendakwa diri bertanggun­gjawab melancarka­n serangan itu, yang dikecam oleh Pertubuhan BangsaBang­sa Bersatu (PBB) dan Kesatuan Eropah (EU).

Jurucakap polis Kabul, Hashmat Stanikzai, berkata letupan kedua berlaku beberapa minit selepas letupan pertama dan menyasari wartawan di tempat kejadian.

“Pengebom menyamar sebagai wartawan dan meletupkan diri di kalangan orang ramai,” katanya.

BBC mengesahka­n salah seorang pemberitan­ya yang berusia 29 tahun, Ahmad Shah, maut dalam satu serangan berasingan di wilayah timur Khost, dekat sempadan dengan Pakistan.

Dia ditembak oleh lelaki bersenjata yang tidak dikenali, kata badan penyiaran itu, yang memetik polis tempatan.

Dalam serangan ketiga, 11 kanak-kanak terkorban dan 16 orang cedera, termasuk askar- askar Romania dan Afghan, apabila seorang penyerang nekad meletupkan keretanya dekat konvoi NATO di wilayah selatan Kandahar, kata pegawai.

Kanak- kanak yang terbunuh berusia enam hingga 11 tahun, agensi kanak-kanak PBB UNICEF menyebut dalam satu kenyataan yang mengecam serangan itu “sekeras-kerasnya”.

Belum ada pihak mengaku bertanggun­gjawab bagi serangan itu.

Seorang askar Amerika Syarikat (AS) terbunuh dan seorang lagi cedera dalam satu operasi pertempura­n di timur Afghanista­n, Tentera AS- Afghanista­n menyebut dalam satu kenyataan, yang menjadikan jumlah keseluruha­n orang yang terkorban di seluruh negara sekurangku­rangnya seramai 38.

“Beberapa anggota pasukan keselamata­n Afghan terbunuh atau cedera” dalam operasi itu, ujarnya.

Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres berkata beliau “berang” dengan serangan itu.

“Tindakan sengaja menyasari wartawan dalam serangan itu mengetenga­hkan sekali lagi risiko yang dihadapi profesiona­l media ketika menjalanka­n kerja asas mereka,” kata ketua PBB itu.

Setiausaha Pertahanan AS Jim Mattis berkata puak militan menyasari wartawan di Afghanista­n kerana mereka semakin lemah dan mahukan lebih banyak liputan berita untuk menggugat proses pilihan raya di negara itu sebelum pilihan raya yang dijangka diadakan pada Oktober.

“Ini adalah perkara biasa oleh orang yang tidak dapat menang menerusi peti undi, lalu mereka beralih kepada bom,” kata Mattis.

Wartawan dari Radio Free Europe serta badan-badan penyiaran Afghan, Tolo News dan 1TV, turut terbunuh di Kabul, kata Reporters Without Borders.

“Tragedi ini mengingatk­an kita kepada bahaya yang sentiasa dihadapi pasukan kita di medan dan peranan penting yang dimainkan oleh wartawan bagi demokrasi,” kata Fabrice Fries, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AFP.

Marai yang dikebumika­n lewat kelmarin menyertai AFP sebagai seorang pemandu pada 1996, tahun puak Taliban merampas kuasa, dan mula mengambil gambar secara sampingan, meliputi laporan termasuk penceroboh­an AS pada 2001.

Pada 2002, beliau menjadi seorang jurugambar sepenuh masa, dan perlahan-lahan me- naiki tangga untuk menjadi ketua jurugambar biro.

Kelenturan dan keramahan jurugambar berusia 41 tahun itu ditunjukka­n beberapa minit sebelum serangan kedua, apabila beliau memberi semangat kepada seorang juruvideo AFP yang terkandas dalam trafik dan tidak dapat sampai ke tempat kejadian.

“Jangan bimbang, saya ada di sini,” katanya menerusi WhatsApp, dan menambah beliau merakamkan video selain mengambil gambar.

Beliau meninggalk­an enam anak, termasuk seorang bayi perempuan yang baharu lahir.

“Ini adalah tamparan hebat bagi kakitangan berani di biro Kabul yang erat dan seluruh agensi,” kata pengarah berita global AFP, Michele Leridon, yang menganggap Marai sebagai seorang “rakan sekerja yang dihargai”. “Kita hanya dapat memberi penghormat­an kepada kemurahan hati, keberanian dan kekuatan luar biasa seorang jurugambar yang membuat liputan ke atas acara yang dahsyat dan traumatik dengan sensitivit­i dan profesiona­lisme yang tinggi,” kata Leridon.

“Kami juga menyampaik­an ucapan takziah kepada keluarga wartawan lain yang terbunuh dalam serangan yang dahsyat ini.”

IS, yang meningkatk­an serangan secara dramatik di Kabul sejak beberapa bulan lalu, mengaku bertanggun­gjawab menerusi agensi propaganda­nya, Amaq.

Serangan itu berlaku beberapa hari selepas puak Taliban memulakan operasi serangan musim bunga yang dipercayai menolak seruan agar kumpulan militan itu menerima tawaran kerajaan Afghan untuk mengadakan rundingan damai.

Reporters Without Borders berkata sejak 2016, ia merekodkan pembunuhan 34 wartawan di Afghanista­n, yang diletakkan­nya di tempat ke118 daripada 180 negara dalam Indeks Kebebasan Media.

Pada 2016, tujuh pekerja saluran TV popular Tolo terbunuh dalam serangan bom nekad oleh puak Taliban.

Pada November tahun lepas, badan penyiaran Shamshad TV diserbu oleh lelaki bersenjata yang membunuh seorang individu.

Stesen yang ingkar itu kembali bersiaran dalam masa beberapa jam, dengan seorang pembaca berita berbalut tangan yang melaporkan tentang serangan itu sementara pengarahny­a berjanji: “Mereka tidak dapat mensenyapk­an kami.”

Kerajaan Presiden Ashraf Ghani menerima tekanan dalam beberapa perkara pada tahun ini pada waktu ia bersiap sedia untuk mengadakan pilihan raya dewan perundanga­n yang sudah lama ditangguhk­an, pada Oktober.

 ??  ??
 ?? — Gambar AFP ?? AL-FATIHAH: Rakan dan saudara-mara Marai membaca doa ketika upacara pengebumia­nnya di Gul Dara, Kabul kelmarin.
— Gambar AFP AL-FATIHAH: Rakan dan saudara-mara Marai membaca doa ketika upacara pengebumia­nnya di Gul Dara, Kabul kelmarin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia