Utusan Borneo (Sarawak)

Guru rugi RM2,700 ditipu ejen pemberi pinjaman wang tidak wujud

-

SIBU: Walau sudah tersedar dirinya tertipu, seorang guru masih lagi membuat transaksi pemindahan wang sebagai caj pembatalan pinjaman yang tidak wujud.

Sebelum kejadian, mangsa menerima satu mesej daripada seorang pemanggil memperkena­lkan dirinya sebagai ejen pemberi pinjaman daripada applikasi WhatsApp pada 4 April lalu.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, kadar rendah pinjaman peribadi ditawarkan menarik minat mangsa, 34, untuk membuat pinjaman berjumlah RM80,000.

“Mangsa kemudian bertindak membuat satu transaksi pemindahan wang sebagai pembayaran caj pemprosesa­n dokumen berjumlah RM700 ke satu akaun bank,” katanya.

Selepas itu, mangsa diminta membuat pembayaran sejumlah RM2,040 bagi membuka tiga akaun bank pelepasan pinjaman itu.

Stanley berkata, apabila mangsa tidak mempunyai wang sejumlah itu beliau kemudian berhasrat membatalka­n pinjaman tersebut.

“Disebabkan itu, mangsa sekali lagi diminta membuat pembayaran sejumlah RM2,000 bagi tujuan pembatalan pinjaman,” katanya.

Namun, mangsa sekali lagi diminta membayar caj ‘stamping’ dokumen pembatalan sehingga mangsa enggan kerana berasa dirinya ditipu membuat pinjaman yang tidak wujud.

Keseluruha­nnya, mangsa mengalami kerugian sejumlah RM2,700 selepas diperdayak­an oleh suspek memasukkan wang ke akaun yang diberikan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana disyaki menipu,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia