Utusan Borneo (Sarawak)

Sepasang kekasih disyaki pecah rumah, curi direman tiga hari

-

MIRI: Sepasang kekasih yang ditangkap kerana disyaki terlibat dalam kes pecah rumah dan curi diperintah­kan Mahkamah Majistret pagi semalam supaya direman tiga hari untuk membantu siasatan lanjut polis.

Perintah itu dikeluarka­n Penolong Kanan Pendaftar Md Syafique Md Hilmie setelah membenarka­n permohonan reman yang dikemukaka­n pegawai penyiasat Inspektor Nur Hasanah Jamil dari Balai Polis Pusat Miri.

Dalam permohonan­nya Hasanah memberitah­u, pada 29 April lalu seorang wanita membuat laporan polis mendakwa rumahnya di Taman Cahaya Lopeng, di sini dipecah masuk pencuri.

Pengadu membuat pemeriksaa­n lanjut dan mendapati pencuri terbabit masuk ke dalam rumahnya melalui tingkap setelah memotong jeriji besi, manakala keadaan di dalam rumah berselerak.

Setelah diperiksa, beliau mendakwa beberapa barang hilang seperti satu unit televisyen, dua unit iPad, dua basikal, dua cincin, seutas rantai emas, seutas jam tangan dan dua pasport milik dua anak pengadu.

Bertindak atas maklumat diterima, sekitar jam 5 petang, 30 April lalu, polis berjaya menahan pasangan terbabit di sebuah bilik rumah penginapan di Jalan Merbau di sini kerana disyaki terlibat dalam kes ini.

Semasa tangkapan dibuat, polis turut merampas dua utas gelang emas, tiga bentuk cincin perak, satu unit tablet, enam unit telefon bimbit, satu unit bank kuasa, dua utas jam tangan, dua bilah pisau lipat, sebuah kamera, sebuah beg dan masing-masing sekeping kad hotel dan resit daftar masuk hotel daripada milik kedua-dua suspek untuk dijadikan barang kes.

Dalam permohonan lanjutnya Hasanah memberitah­u, reman tujuh hari mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah ke atas kedua-dua suspek yang berusia 35 dan 23 tahun masing-masing dari Pujut 2 di sini dan Kapit amat diperlukan untuk membolehka­n polis menjalanka­n siasatan terperinci berhubung kes ini.

Selain itu, polis masih memerlukan masa untuk mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas, justeru membebaska­n mereka lebih awal akan menjejaska­n siasatan lanjut polis.

Bagaimanap­un, mahkamah hanya membenarka­n reman tiga hari ke atas kedua-dua suspek dan tempoh reman akan tamat pada 4 Mei ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia