Utusan Borneo (Sarawak)

Penyokong akui kurang teruja ketika meraikan kejuaraan berganda Barca

-

BARCELONA, Sepanyol: Ribuan penyokong Barcelona berbaris di jalan-jalan untuk meraikan kejuaraan berganda La Liga dan Copa del Rey kelab mereka walaupun kekecewaan tersingkir dari Liga Juara-Juara masih dirasai.

Memakai jersi tradisi kelab, penyokong bersorak ketika bas dua tingkat terbuka lalu membawa Lionel Messi, Andres Iniesta dan pemain bintang lain yang bergambar dan menyanyi kegembiraa­n.

Ia adalah kali kelapan Barca memenangi kejuaraan berganda walaupun sambutan perayaan melalui pusat bandar raya tidak sehebat dan semeriah seperti tahun-tahun sebelum ini.

Bukan sahaja ia berlangsun­g pada pertengaha­n cuti panjang, ketika ramai pergi bercuti, ramai penyokong Barca masih terkejut dan kecewa dengan penyingkir­an di suku akhir Liga Juara-Juara kepada AS Roma walaupun menang 4-1 pada perlawanan pertama.

“Ia musim yang tidak sempurna, ia kelihatan seperti dua kejuaraan tidak mencukupi,” kata Enric Vilalta, salah seorang penyokong yang hadir pada perarakan kejuaraan itu.

“Copa (del Rey) bukan trofi terbesar dan La Liga boleh dianggap bagus tetapi Liga Juara-Juara adalah apa yang paling mengujakan. Anda boleh tewas di separuh akhir atau final tetapi bukan di suku akhir menentang lawan yang tidak kuat.”

“Apa yang berlaku ketika menentang Roma adalah sukar diterima,” kata Javier Gibello. “Tetapi jika saya mahu memberi penilaian, saya akan memberikan mereka markah B+.”

Dan dengan kelab musuh tradisi, Real Madrid memburu kejuaraan Eropah buat kali ke-13, penyokong Barca tertanya-tanya apa yang berlaku jika semua berbeza dari awal musim.

Perpindaha­n penyerang Neymar ke Paris Saint Germain (PSG) hadir sebelum kekalahan kepada Real dalam Piala Super Sepanyol tetapi Barca bangkit dan memenangi Copa del Rey minggu lepas dengan menewaskan Sevilla dan kemudian mengesahka­n kejuaraan La Liga Ahad lepas apabila menewaskan Deportivo La Coruna 4-2.

Ia adalah kejuaraan liga ketujuh Barca dalam 10 tahun dan kejuaraan Copa yang keempat berturut-turut. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia