Utusan Borneo (Sarawak)

Kerajaan stabil, komited kepada Melayu, kunci survival usahawan

-

KUALA LUMPUR: Dasardasar jitu dan komitmen penuh kerajaan Barisan Nasional (BN) membolehka­n agenda menaik taraf ekonomi usahawan Melayu dilaksanak­an secara berkesan.

Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Rizal Faris Mohideen Abdul Kader berkata kerajaan yang stabil dan mempunyai rekod cemerlang, merupakan kunci untuk terus memastikan matlamat agenda Bumiputera dicapai.

“Sokongan terhadap dasar dan komitmen kerajaan itu penting. Kalau (parti memerintah nak) sebut mengenai agenda Bumiputera pun takut (kerana parti komponen lain marah), susahlah kalau macam itu,” kata Rizal dalam satu kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata sesebuah kerajaan perlu mempunyai iltizam tegas untuk membela ekonomi orang Melayu, khususnya dalam persekitar­an global yang semakin mencabar.

“Persoalan ekonomi ini tidak statik. Ia sentiasa beranjak dan berubah mengikut masa. Saat dan detik kita berasa selesa sedikit – timbul pula cabaran ekonomi global.

“Ini sebahagian daripada gelombang yang kena kita hadapi,” kata Rizal.

Rizal berkata DPMM yang dipimpinny­a, tampil menjadi penghubung dan pelengkap kepada agenda kerajaan untuk membela usahawan Melayu, antara lain, menyediaka­n latihan dan bimbingan untuk mereka bersaing di peringkat global.

Di Langkawi, DPMM giat mengadakan perjumpaan dengan wakil dan pemimpin masyarakat bagi mengumpul input serta permasalah­an untuk dipanjangk­an kepada kerajaan.

“Kita akan terus laksanakan acara ini pada masa akan datang. DPMM berperanan sebagai ‘pemudah cara’ untuk rakyat lebih mengenali aspek ekonomi masa hadapan ini,” katanya.

DPMM yang dibarisi kepimpinan muda, meletakkan agenda memperkasa ekonomi usahawan Melayu di pulau ini sebagai keutamaan dengan melancarka­n pelbagai program yang serasi dengan aliran semasa.

DPMM menggerakk­an program Langkawi G0 4.0 untuk mendidik orang ramai mengenai cabaran serta peluang-peluang yang bercambah daripada Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) yang berasaskan ekonomi digital.

Program itu menekankan keperluan usahawan Melayu beralih kepada model perniagaan yang berasaskan teknologi dan inovasi terbaharu demi meraih capaian lebih baik. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia