Utusan Borneo (Sarawak)

4 SUSPEK LONTAR BOM PETROL DIJEJAKI

-

KUCHING: Polis sedang mengesan empat individu yang dipercayai melontar bom petrol ke dalam sebuah kedai runcit 24 jam yang beroperasi di pusat komersial Emart, Batu Kawa di sini.

Tindakan empat individu terbabit melontar bom petrol tersebut telah menyebabka­n kebakaran di bahagian hadapan luar dan bahagian kaunter kedai tersebut.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan DSP Merbin Lisa berkata ketika kejadian sekitar jam 9.15 malam kelmarin (Sabtu), pemilik kedai yang berusia 48 tahun bersama anak lelaki berusia 19 tahun, berada di kaunter kedai.

Secara tiba-tiba, empat lelaki tidak dikenali berdiri di hadapan kedai milik lelaki Cina tersebut lalu melontarka­n enam bom petrol ke arah kedai tersebut.

Kesemua suspek kemudianny­a melarikan diri menggunaka­n sebuah kenderaan.

“Hasil siasatan awal, pemilik kedai memberitah­u bahawa dia tidak berhutang atau bermusuh dengan sesiapa.

“Pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan sedang berusaha mengesan suspek termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dalam masa terdekat,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Dalam pada itu, siasatan awal pihak bomba mengesahka­n kebakaran berlaku berpunca daripada cecair yang diletupkan menggunaka­n botol arak.

Kebakaran dapat dipadam dalam masa 10 minit dan hanya 10 peratus bahagian hadapan luar kedai dan bahagian kaunter kedai terbakar.

Kesemua enam botol itu telah dijadikan barang kes dan bagi tujuan uji kaji Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk menentukan jenis cecair yang digunakan sehingga mencetus letupan.

Pihak polis turut meminta saksisaksi bebas yang mempunyai maklumat mengenai kejadian, suspek termasuk kenderaan yang digunakan agar tampil membantu pihak polis.

 ??  ?? KESAN TERBAKAR: Keadaan kedai runcit yang menjadi mangsa khianat dalam kejadian malam Sabtu lepas.
KESAN TERBAKAR: Keadaan kedai runcit yang menjadi mangsa khianat dalam kejadian malam Sabtu lepas.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia