Utusan Borneo (Sarawak)

GRADUAN PENDIDIKAN TIDAK DIBERI PELUANG JADI PENDIDIK

-

KUCHING: Mengambil Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dengan matlamat mahu mendidik anak bangsa untuk melahirkan modal insan berkualiti, namun sehingga kini tidak pernah diberi peluang menjadi pendidik.

Demikian luahan wakil Graduan Pendidikan Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR) Sanlos Selamat yang mewakili lebih 100 graduan pendidikan yang tidak pernah diberi peluang berkenaan.

Menurut Sanlos, mereka bukan mahu menuding jari kepada mana-mana pihak tetapi menarik perhatian Kementeria­n Pendidikan Malaysia (KPM), Kementeria­n Pendidikan, Sains dan Penyelidik­an Teknologi serta Jabatan Pendidikan Negeri bahawa masih ada graduan pendidikan yang belum diserap dalam profesion itu.

“Kami sama seperti yang lain menjalani latihan industri di sekolah-sekolah kebangsaan sebelum tamat Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dan merupakan salah satu kredit diberikan kepada kami selama tiga hingga empat bulan menjalani latihan industri.

“Latihan industri ini sedikit sebanyak memberikan gambaran dan pengalaman kepada kami bagaimana selok-belok pendidikan di sekolah menengah.

“Namun baru-baru ini kami menerima maklumat bahawa Jabatan Pendidikan Negeri mengambil graduan yang tidak mempunyai latar belakang dalam bidang pendidikan untuk menduduki Ujian Kecekapan Calon Guru (UKCG),” katanya pada sidang media yang dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Lo Khere Chiang di sini, semalam.

Sanlos menambah, dengan itu ia pastinya menambah keresahan dan kekecewaan mereka kerana ramai antara graduan bukan tergolong dalam bidang pendidikan dilantik menjadi guru interim di sekolah.

Katanya, pihak berkaitan seharusnya melihat kepada pengambila­n sebelum ini yang mana ada juga graduan pendidikan UNITAR diserap masuk menjadi guru di sekolah menengah dan mereka layak menjadi guru.

“Maka itu kami berharap jabatan memberi peluang kepada kami dan memberi masa sekurang-kurangnya setahun, jika mereka tidak berpuas hati mereka boleh melepaskan kami.

“Namun sehingga kini kami tidak pernah diberi peluang untuk mengajar sama sekali, lagipun jika mahu dibezakan dengan yang lain kami diajar oleh pensyarah bertauliah semasa pengajian dan menjalani latihan industri,” katanya sambil menyatakan ada antara mereka adalah graduan dari 2011 hingga 2014.

Malahan mereka kini katanya, berdepan dengan satu lagi masalah iaitu pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kerana tidak mampu membayar disebabkan tiada pekerjaan.

Sanlos berkata ada juga dalam kalangan mereka telah disenarai hitam kerana tidak mampu membayar balik pinjaman tersebut.

Beliau turut melahirkan rasa penghargaa­n kepada Lo yang hadir mendengar permasalah­an yang dihadapi mereka itu selain semangat mereka untuk berkhidmat mendidik anak bangsa.

“Saya yakin dan percaya bahawa semua yang hadir hari ini berpotensi besar untuk meneruskan legasi kegurusan di sekolah menengah di Sarawak.

“Besar harapan kami agar pihak yang bertanggun­gjawab dalam hal melantik guru dapat mempertimb­angkan kami graduan bidang pendidikan menjadi pendidik anak bangsa negeri ini,” katanya.

 ??  ?? BERI KAMI PELUANG: Sanlos (duduk, empat kanan) bersama Lo (lima kanan) serta yang lain merakam kenangan bersama graduan yang hadir pada sidang media di Kuching, semalam.
BERI KAMI PELUANG: Sanlos (duduk, empat kanan) bersama Lo (lima kanan) serta yang lain merakam kenangan bersama graduan yang hadir pada sidang media di Kuching, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia