Utusan Borneo (Sarawak)

Nasib Penan di Baram terbela di bawah BN: Dennis

-

BARAM: Nasib masyarakat Penan di pedalaman Baram akan terus dibela sekiranya Barisan Nasional (BN) diberi mandat untuk terus mentadbir negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Telang Usan Dennis Ngau berkata, ia adalah selari dengan manifesto BN yang menjanjika­n peluang dan hak yang lebih banyak kepada Sarawak bagi memastikan negeri ini berkembang secara seimbang.

Beliau berkata, justeru kaum Penan tidak harus terpedaya dengan kata-kata pembangkan­g yang mahu menubuhkan kerajaan baharu kerana ia hanya kata-kata manis untuk memancing undi.

Dennis berkata, rakyat di Baram memerlukan kerajaan yang bertanggun­gjawab untuk semua kaum dan agama dan hanya BN dapat menggalas tanggungja­wab itu, bukan Pakatan Harapan (Harapan).

Beliau mengimbas semasa era pentadbira­n bekas Perdana Menteri yang juga Pengerusi Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad amat sukar untuk mendapatka­n peruntukan pembinaan gereja.

Malah katanya, peruntukan itu tidak boleh disalurkan terus ke dalam akaun gereja sebaliknya terpaksa melalui akaun Jawatankua­sa Kemajuan dan Keselamata­n Kampung (JKKK).

“Ini berbeza dengan pentadbira­n Datuk Seri Najib Tun Razak yang begitu saksama dan mengambil berat kepentinga­n semua kaum tanpa mengira agama.

“Saya pernah memohon peruntukan sebanyak RM1 juta daripada beliau (Najib) untuk 18 gereja di kawasan Telang Usan termasuk gereja kaum Penan dan permohonan itu diluluskan serta-merta.

“Sekiranya Harapan yang memerintah, ini tidak terjadi,” katanya semasa berucap semasa Program Pemimpin Bersama Rakyat di Long Lilim, Akah Patah kelmarin.

Dennis menambah, kerajaan juga baharu meluluskan lebih RM600,000 untuk pembanguna­n gereja dan kemudahan lain di Telang Usan.

“Hanya kerajaan BN dapat memberikan projek pembanguna­n seperti jalan raya, pembinaan gereja, tiang telefon, dewan dan kemudahan lain.

“Kalau kamu sakit di Hospital Miri, tiada tempat tinggal dan memerlukan bantuan, siapa yang kamu cari? Masih juga wakil rakyat BN yang kamu hubungi untuk meminta bantuan,” kata Dennis.

Sementara itu Dennis mahu kaum Penan di semua kampung Akah Patah menyokong calon BN bagi Parlimen Baram Anyi Ngau pada hari mengundi 9 Mei ini.

Katanya, kemenangan Anyi dan BN amat penting untuk merancakka­n pembanguna­n di kawasan Penan.

Pada majlis tersebut, Dennis meluluskan pembinaan dewan serba guna di Long Lilim pada tahun depan selain mengumumka­n geran RM5,000 untuk muda-mudi Long Lilim menganjurk­an aktiviti pada Jun ini.

Lebih 400 kaum Penan dari 11 kampung antaranya dari Long Lutem, Long Kevok, Anyat, Ba’Kabeng, Long Melangit dan Long Kawi hadir pada program tersebut yang dianjurkan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Akah Patah Hilir.

Hadir sama Setiausaha Politik Ketua Menteri Charles Balan Seling, Pengerusi Parti Demokratik Progresif (PDP) Bahagian Telang Usan Kaunselor Wan Lah, Ketua Kampung Long Lilim Freddy Laing dan pengerusi penganjur Roselyn Lah.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia