Pemaju hartanah Malaysia buktikan kemampuan pada Anugerah FIABCI World Prix d’Excellence 2018
KUALA LUMPUR: Syarikat pemaju SP Setia sekali lagi mencipta sejarahnya yang tersendiri dengan meraih tiga Anugerah Emas pada majlis Anugerah FIABCI World Prix d’Excellence 2018 yang berlangsung di Dubai, baru-baru ini.
Pada majlis anugerah tersebut SP Setia meraih anugerah bagi tiga kategori iaitu Rumah Mampu Milik menerusi Pangsapuri Seri Kasturi, sebuah projek di Setia Alam.
Anugerah kedua menerusi kategori Pelan Induk bagi projek Setia Eco Glades di Cyberjaya dan anugerah ketiga dalam kategori Pembangunan Mampan bagi projek Eco Sanctuary di Singapura.
Majlis penyampaian anugerah yang diadakan pada majlis makan malam Anugerah FIABCI World Prix d’Excellence 2018 ini telah dihadiri oleh 400 pemaju hartanah dari seluruh dunia.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Presiden FIABCI World Farook Mahmood dari India, Presiden Jawatankuasa FIABCI World Prx d’Excellence Awards Profesor Chen Ming Cheu dari Taiwan, FIABCI World President Eléct Assen Makedonov dari Bulgaria, Naib Presiden World FIABCI Walid Moussa dari Lebanon dan lain-lain lagi.
Sebanyak 27 anugerah telah disampaikan pada majlis tersebut termasuk 14 Anugerah Emas dan 13 Anugerah Perak yang telah dimenangi pemaju hartanah dari Taiwan, Malaysia, Hungary, Jerman, Indonesia, Singapura Vietnam, China dan Rusia.
Selain SP Setia, syarikat pemaju lain dari Malaysia yang telah menerima Anugerah Emas ialah Mangala Resort & Spa bagi Kategori Alam Sekitar ( Rehabiliatation/ Conservation) oleh Farm Resort (Gambang) Sdn Bhd, Eco Business Park 1 bagi Kategori Perindustrian oleh Ecoworld Development Group Bhd, Socso Tun Razak Rehabilitation Centre dalam Kategori Purpose Built oleh Anuar Aziz Architect dan 16 Quartz bagi Kategori Kediaman (Bangunan Rendah) oleh Mitraland Group.
Pada majlis sama, pemaju Malaysia yang berpangkalan di luar negara turut memenangi Anugerah Emas seperti Gamuda City yang telah memenangi anugerah untuk projek Yen So Sewage Treatment di Vietnam dalam kategori Pemuliharaan Alam Sekitar (Rehabiliation/Conservation).
Manakala Selangor Dredging Bhd yang berpangkalan di Singapura telah memenangi Anugerah Perak untuk projek Hijauan On Cavenagh bagi kategori Kategori Kediaman (Mid Rise).
Kesimpulannya, pemaju hartanah Malaysia sekali lagi membuktikan bahawa kualiti mereka setaraf dengan pemaju hartanah antarabangsa dengan memenangi pelbagai anugerah di peringkat antarabangsa terutamanya pada majlis Anugerah FIABCI World Prix d’Excellence 2018.