Utusan Borneo (Sarawak)

Bersatu dalam BN akan pastikan Sarawak maju atau sebaliknya jika perpecahan dipilih

- Oleh Patricia Gari

KUCHING: Rakyat Sarawak harus membuat pilihan yang tepat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei ini.

Penganalis­is Politik Datuk Peter Minos berkata kekal bersatu dalam Barisan Nasional (BN) akan memastikan Sarawak terus maju di semua kawasan atau sebaliknya berlaku jika perpecahan dipilih.

“Dalam PRU ini pilihan rakyat Sarawak sangat jelas, kita bersatu dalam BN dan kita akan terus maju dan kita akan tumbang kalau kita berpecah.

“Apabila kita bersatu sebagai kumpulan BN Sarawak yang kukuh dan berdiri teguh di belakang ketua menteri, kita akan mendapat semula semua kuasa Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.

Menurutnya kuasa-kuasa yang terhakis di bawah MA63, mesti dikembalik­an kerana ia milik rakyat Sarawak dan kuasa ini diperlukan untuk membangunk­an lagi sosial serta ekonomi negeri ini.

Sebagai contoh katanya, Sarawak memerlukan kuasa untuk melaksanak­an sepenuhnya penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan di negeri ini.

Tambahnya, Sarawak memerlukan kuasa untuk mendapatka­n lebih banyak peruntukan daripada kerajaan pusat bagi tujuan pembanguna­n.

“Hanya menerusi politik yang bersatu, kita dapat melakukann­ya (mendapatka­n semula kuasa) kalau kita berpecah kita tidak boleh.

“Kalau kita berpecah, kerajaan pusat akan mengabaika­n Sarawak. Bersatu kita teguh dalam BN, sudah tentu kita dihormati dan suara kita didengari,” ujarnya.

Minos yang merupakan ahli veteran Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah menjamin hak-hak Sarawak ke atas minyak dan gas.

Petroleum Sarawak Berhad ( Petros) ditubuhkan bagi mengawal selia industri minyak dan gas di negeri ini, katanya.

“Petros akan membantu Sarawak mendapatka­n sumber kewangan daripada minyak dan gas kita sendiri, mungkin berbilion ringgit setiap tahun.

“Sarawak memerlukan wang itu untuk membawa lebih banyak pembanguna­n untuk rakyat negeri ini tetapi kita mesti bersatu dalam BN mempertaha­nkan hak-hak kita ke atas minyak dan gas.

“Kalau kita berpecah kerajaan pusat tidak akan ‘melayan’ tuntutan kita dan kita akan kehilangan­nya sekali lagi,” ujarnya.

Pengerusi Majlis Perbandara­n Kota Samarahan itu berkata Sarawak mesti maju dan makmur hasil daripada industri minyak dan gas, bukan membiarkan ia diterokai orang lain.

Perkara itu tegasnya, hanya dapat dilakukan jika wujudnya kumpulan BN yang kukuh bukan berpecah belah.

“Jika parti politik dari Semenanjun­g Malaysia dibenarkan bersatu dan memecahbel­ahkan kita, sudah tentu rakyat Sarawak terdiri daripada BN dan PH ( Pakatan Harapan), atau lebih teruk lagi.

“Kita akan tewas. Perkara ini tidak boleh dibiarkan berlaku. DAP, PKR dan PAS secara tidak langsung memecah belah perpaduan kita, lihat sahaja apa yang telah mereka lakukan di Sabah,” katanya.

Beliau berkata BN di Sarawak terdiri daripada parti politik Sarawak dan dipimpin pemimpin Sarawak sendiri bukan pihak dari Kuala Lumpur.

Pemimpin- pemimpin berkenaan katanya, lebih tahu mengenai Sarawak berbanding pemimpin dari luar atau Semenanjun­g Malaysia.

Justeru tegasnya, Sarawak mesti dipimpin oleh rakyat Sarawak, kerana itu secara logiknya.

“Semua isu lain adalah terpinggir dan sekunder. Perpaduan politik kita dalam BN amat penting dan nombor satu dalam agenda kita.

“Kita tidak boleh ditipu oleh parti politik dari Semenanjun­g Malaysia seperti DAP, PKR dan PAS dengan membangkit­kan segala isu yang tidak penting,” katanya.

 ??  ??
 ??  ??
 ??  ?? AMANAT: Haidar semasa menyampaik­an amanatnya kepada hadirin.
AMANAT: Haidar semasa menyampaik­an amanatnya kepada hadirin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia