Utusan Borneo (Sarawak)

Rezeki berlipat ganda di medan ikan bakar

-

PEKAN: Ditimpa musibah banjir ketika waktu perniagaan­nya baharu berkembang lima tahun lepas merupakan satu cabaran hebat yang terpaksa ditempuh oleh seorang usahawan muda Muhammad Hafid Azli Lee yang ketika itu baharu berjinak-jinak dengan pembuatan kek.

Keadaan itu menyebabka­n anak muda berasal dari Kuantan itu hampir terduduk, apatah lagi modal yang dilaburkan menerusi pembelian mesin dan peralatan, kebanyakan­nya rosak akibat dilanda air bah yang berlaku di kebanyakan negeri pantai timur ketika itu menyebabka­n beliau kerugian hampir RM200,000.

“Perniagaan sedang maju ketika itu dan banyak permintaan kek daripada pelanggan. Kami juga sedang dalam proses untuk pasarkan kek ke sebuah pasar raya terkemuka di Kuantan.

“Tetapi apakan daya sudah bukan rezeki kami. Semua barang membuat kek rosak ditenggela­mi banjir. Namun nasib baik ada beberapa peralatan yang dapat diselamatk­an,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Enggan menyerah kalah dengan takdir, Muhammad Hafid, 28, yang hanya berkelulus­an Sijil Pelajaran Malaysia ( SPM), dengan bantuan ibunya Amaruszati Noor Rahim tekad bangkit menceburi bidang penghasila­n acar ikan masin dan sambal hitam berbekalka­n modal daripada simpanan mereka.

Bermula di Kuantan, produk itu semakin mendapat sambutan dan melihat keadaan itu Muhammad Hafid menerusi syarikat yang ditubuhkan bersama ibunya Zati D’Hati Resources, berpindah ke satu daripada premis di kompleks Medan Ikan Bakar Kuala Pahang.

Projek di bawah Majlis Pembanguna­n Wilayah Ekonomi Pantai Timur ( ECERDC) yang diibina dengan kos RM6.3 juta itu, adalah hasil cetusan idea Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, khusus untuk membantu usahawan Bumiputera setempat.

Kompleks yang beroperasi 1 Ogos tahun lepas itu menyediaka­n lebih 12 ruang niaga merangkumi empat restoran, empat gerai jualan dan empat kilang pemprosesa­n hasil laut dengan lebih 100 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

“Sebelum ini kami proses sambal hitam di lot kedai, tetapi lokasi tidak sesuai sebab berdekatan dengan kedai pakaian jadi apabila menumis sambal ada bau yang menimbulka­n rasa tidak selesa kepada penghuni kedai-kedai di sebelah.

“Jadi apabila berpindah di Kompleks Ikan Bakar Kuala Pahang ini, lokasinya juga lebih strategik kerana ruang lebih luas dengan harga sewa sangat murah dan kerajaan menerusi ECERDC juga tidak putus untuk membantu kami.

“Malah baru- baru ini kami turut menerima sebuah kuali bernilai RM14,000 daripada Program Memperkasa Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang membolehka­n kami menghasilk­an 800 botol sambal hitam sehari untuk memenuhi permintaan berbanding 400 botol sebelum ini,” katanya yang kini mampu meraih pendapatan sehingga RM25,000 sebulan.

Seorang pengusaha restoran di kompleks berkenaan, Noor Jasimawati Ahmad, 42, turut bersyukur kerana kerajaan sentiasa membantu usahawan Bumiputera sepertinya dengan menyediaka­n lot perniagaan di lokasi strategik.

Noor Jasimawati yang berpindah ke kompleks tersebut sejak 1 Ogos tahun lepas kini boleh tersenyum bangga apabila pendapa- tannya meningkat dua kali ganda sehingga mencecah RM24,000 sebulan.

“Sebelum ini saya buka gerai di tepi jalan di Peramu Jaya. Gerai tersebut kecil dan hanya boleh memuatkan 40 pelanggan dalam satu masa berbanding 200 pelanggan di restoran ini. Alhamdulil­lah rezeki bertambah sejak berpindah ke sini,” katanya.

Katanya peniaga yang berpindah ke situ juga tidak dikenakan sebarang bayaran sewa selama enam bulan pertama, dan hanya membayar separuh daripada kadar sewa asal dalam tempoh dua tahun berniaga di situ.

Beliau yang telah 18 tahun berniaga masakan panas, masakan barat dan ikan bakar itu turut menyatakan rasa syukur kerana akan menerima bantuan peralatan masakan daripada program memperkasa ECER bernilai RM10,000 dalam masa terdekat. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia