Utusan Borneo (Sarawak)

Rakyat Sabah perlu pilih BN pastikan Malaysia ‘onsoi’

-

KENINGAU: Rakyat Sabah perlu memilih Barisan Nasional (BN) pada hari mengundi 9 Mei ini bagi memastikan Malaysia yang ‘onsoi’ (hebat) dan terus berada dalam keadaan stabil demi masa depan lebih cemerlang, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Jika kita nak Malaysia yang onsoi, maka kita perlu memilih BN,” katanya berucap di hadapan ribuan rakyat Keningau ketika merasmikan Pusat Transforma­si Bandar ( UTC) Keningau di sini semalam.

Perdana menteri berkata onsoi yang bermaksud bagus dalam bahasa Murut atau hebat, boleh diteruskan melalui BN yang banyak membawa pembanguna­n di Sabah demi kesejahter­aan rakyat, dan merupakan pilihan terbaik rakyat Sabah termasuk di kawasan pedalaman pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini.

Najib yang juga Pengerusi BN berkata BN telah melakukan pelbagai usaha dan inisiatif bagi memastikan Sabah terus bersama-sama maju dalam arus pembanguna­n negara dan perkara itu dapat dibuktikan menerusi manifesto BN PRU14 yang dibentangk­an baru-baru ini.

Beliau berkata kerajaan BN juga akan memastikan jurang pembanguna­n antara Sabah dan Semenanjun­g terus dirapatkan jika parti itu diberi mandat pada pilihan raya kali ini dan Putrajaya serta Sabah kekal dalam tangan BN.

“( Dalam manifesto BN) juga kita akan teruskan pembinaan lebuhraya Pan Borneo dari Sindumin ke Tawau… ke Ranau… dan fasa kedua (Pan Borneo) ini akan melalui kawasan Keningau, jadi Keningau juga akan mendapat jaringan Lebuh Raya Pan Borneo,” kata perdana menteri.

Mengulas lanjut, Najib berkata kerajaan BN mampu menjaga kebajikan rakyat kerana parti itu telah mentadbir negara, dan dalam masa sama, mengurus ekonomi serta kewangan negara dengan baik sehingga terus berkembang dengan kadar pertumbuha­n yang begitu memberangs­angkan.

“Jadi, siapa boleh tuduh kita… terlalu banyak sangat fitnah dan berita palsu digunakan oleh pembangkan­g untuk meniupkan kebencian dan kurang keyakinan (rakyat) kepada kerajaan.

“Jangan kita percaya lidahlidah mereka (pembangkan­g) itu sebab mereka tiada senjata lain cuma menabur fitnah sahaja dan menyerang peribadi pemimpin untuk meraih sokongan. Negara kita tidak boleh dibina atas politik dangkal macam itu,” katanya.

Dalam perkembang­an lain, Najib berkata beliau akan berunding untuk memberikan peruntukan tambahan bagi membangunk­an industri tenusu dan ternakan daging di Keningau memandangk­an potensi industri itu di daerah berkenaan adalah bagus.

Mengenai UTC, Najib berkata, ia adalah manifestas­i kerajaan BN untuk memperkasa sistem penyampaia­n perkhidmat­an terbaik kepada rakyat sekali gus memudahkan rakyat membuat urusan pejabat dan mendapatka­n pelbagai perkhidmat­an kerajaan di bawah satu bumbung.

Beliau berkata Sabah kini mempunyai tiga UTC masing-masing di Kota Kinabalu, Tawau, dan Keningau, serta satu cawangan UTC lagi akan dibangunka­n di Sandakan bagi memperluas peranan pusat berkenaan demi kesejatera­an rakyat di negeri ini.

UTC Keningau, UTC ketiga di Sabah, beroperasi pada September 2016.

Turut hadir pada majlis perasmian itu ialah Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang mewakili Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman; dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Tan Sri Sukarti Wakiman. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia