Utusan Borneo (Sarawak)

Alween sanggup guna wang sendiri untuk balik mengundi

-

KUCHING: Keterujaan mengundi buat kali pertama pada usia 34 tahun, membuatkan Alween sanggup balik dari Semenanjun­g Malaysia untuk menunaikan amanah kepada negara.

Berasal dari Kampung Semadang, dia membuang undi di tempat pengundian Sekolah Kebangsaan (SK) St Patrick Semadang yang mempunyai seramai 344 pemilih bagi Parlimen Puncak Borneo.

“Ini adalah kali pertama saya mengundi. Saya berasa amat lega kerana dapat menunaikan tanggungja­wab sebagai pengundi walaupun berada jauh dari tempat asal,” katanya ketika ditemui selepas mengundi pada sekitar jam 10.30 pagi semalam.

Alween yang sudah bekerja lebih 10 tahun di Johor, berkata dia tidak kisah untuk membelanja­kan duit sebanyak RM300 bagi membeli tiket penerbanga­n hanya untuk balik mengundi.

Malah walaupun balik dalam tempoh singkat di mana akan kembali semula ke Johor esok, dia amat berpuas hati kerana dapat menunaikan hasrat untuk mengundi.

Sementara itu, calon BN di Parlimen Puncak Borneo Jeannoth Sinel menjadi pengundi pertama yang membuang undi di SK St Swithun Payang pada jam 8 pagi.

Manakala pencabarny­a, Willie Mongin daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengundi di Chung Hua Batu 15, Jalan Penrissen.

Parlimen Puncak Borneo menyaksika­n pertembung­an antara Jeannoth, Willie dan calon STAR Buln Patrick Ribos.

Parlimen Puncak Borneo mempunyai seramai 46,180 pengundi berdaftar pada Pilihan Raya Umum Ke-14 ini.

Penyandang kerusi ini adalah Datuk Seri James Dawos Mamit, setelah menang dengan majoriti 9,721 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 dalam pertanding­an tiga menjuru dengan Willie dan calon STAR Drippin Sakoi.

Dawos memperoleh 20,461 undi manakala Willie mendapat 10,740 undi dan Drippin sekadar menerima 704 undi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia