Utusan Borneo (Sarawak)

Proses pengundian seluruh negara terkawal dan lancar

-

KUALA LUMPUR: Pemantauan Polis Diraja Malaysia ( PDRM) terhadap proses pengundian Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang berlangsun­g di seluruh negara setakat ini adalah terkawal dan lancar tanpa sebarang provokasi daripada manamana pihak.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata keadaan masih terkawal sepanjang proses pengundian dan pengundi mematuhi arahan yang ditetapkan polis di pusat pengundian dengan berdisipli­n.

“Saya agak berpuas hati kerana tiada sebarang kekecohan berlaku sepanjang proses pembuangan undi di seluruh negara dan mengharapk­an keadaan baik ini berterusan serta dikekalkan sehingga selesai proses pembuangan undi pada jam 5 petang ini (semalam).

“Polis juga sedang membuat persiapan secukupnya untuk mengawal situasi kes- elamatan di seluruh negara agar kegiatan yang boleh menggugat perjalanan pilihan raya ini dibendung,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat pusat pengundian di Sekolah Rendah Kebangsaan Bangsar di sini semalam.

Beliau juga menasihatk­an agar semua pengundi menerima dengan hati yang terbuka apabila keputusan PRU14 diumumkan kemudian oleh Suruhanjay­a Pilihan Raya (SPR).

“Saya tidak mahu manamana pihak yang seolah-olah tidak mahu menerima keputusan PRU14 yang dibuat rakyat pada kali ini dan berharap mereka tidak mencetuska­n provokasi,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Fuzi berkata polis telah menerima lebih 1,934 laporan polis di seluruh negara berkaitan PRU14, antaranya melibatkan kes khianat bendera.

Dalam pada itu Pengarah Jabatan Keselamata­n Dalam Negeri dan Ketenteram­an Awam ( KDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Zulkifli Abdullah membuat tinjauan dari udara menggunaka­n helikopter Augusta milik Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM untuk melihat dengan lebih dekat kelancaran proses mengundi sempena PRU14 semalam.

Pemantauan udara bermula pada sebelah pagi dari Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur ke Kuala Selangor sebelum ke Bagan Datuk, Perak kemudian ke Batu Pahat, Johor dan kembali semula ke PULAPOL Kuala Lumpur petang semalam.

Sebanyak 79,000 pegawai dan anggota polis daripada pelbagai jabatan dan unit bertugas mengawal keselamata­n selain tambahan 10,939 pegawai dan anggota sebagai bantuan dihantar untuk melapor diri di 13 kontinjen di seluruh negara. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia