Utusan Borneo (Sarawak)

SPR telah ditegur berhubung kelembapan proses pengundian

-

GEORGE TOWN: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang Teng Chang Yeow menegur Suruhanjay­a Pilihan Raya (SPR) berhubung apa yang beliau dakwa sebagai kelemahan dalam mengendali­kan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Calon BN bagi kerusi negeri Tanjong Bungah itu berkata pengundian berjalan dengan ‘sangat perlahan’, terutama di kawasan Parlimen Bukit Bendera, yang dikendalik­an staf Pejabat Tanah Daerah Timur Laut.

“Di dewan atau saluran tertentu, hanya seorang pemilih membuat pengundian pada satu-satu masa, walauapun dua petak mengundi disediakan dan saya rasa terdapat terlalu banyak pegawai baharu yang mengendali­kan tempat itu,” katanya kepada pemberita selepas mengundi di pusat pengundian di Cawangan Sekolah Kebangsaan St Xavier di sini.

Beliau berkata, walaupun banyak pemilih hadir pada sebelah pagi, tetapi mereka diminta beratur dalam satu barisan dan itulah yang menyebabka­n barisan menjadi begitu panjang serta memaksa sesetengah pemilih berdiri dalam panas terik.

Teng, yang juga pengerusi GERAKAN Pulau Pinang, menggesa pihak berkuasa menyiasat panggilan telefon palsu yang dilapor diterima banyak pemimpin politik dan calon.

“Pihak berkuasa perlu siasat apa yang berlaku itu. Kenapa ia berlaku khususnya ketika ini?” katanya.

Teng mendakwa beliau juga menerima panggilan seperti itu petang semalam, tetapi tidak menjawabny­a kerana nombor yang tidak dikenali itu ketara berasal dari luar negara.

“Saya sering mendapat panggilan telefon seperti itu, tetapi kami tidak menjangka ia berlaku semasa pilihan raya,” katanya.

Teng berdepan dengan calon DAP Zairil Khir Johari, Chua Cheong Wee daripada Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Lee Zheng Yong daripada Parti Bersatu Malaysia dalam pertanding­an empat penjuru bagi kerusi Tanjong Bungah. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia