Utusan Borneo (Sarawak)

Les Herbiers terima pujian, sukarkan PSG julang Piala Perancis ke-4 berturut-turut

-

PARIS, Perancis: Kelab kerdil, Les Herbiers, mungkin kurang pengalaman untuk mencipta salah satu kejutan terbesar dalam bola sepak tetapi mereka memberikan saingan yang kuat kepada Paris Saint Germain (PSG) sebelum tewas 0-2 di final Piala Perancis Selasa lepas.

Giovani Lo Celso membuka jaringan buat PSG dalam separuh masa pertama perlawanan di Stade de France, menembusi benteng pertahanan kental Les Herbiers selepas terselamat dengan tiga cubaan pemain PSG terkena palang pada awal permainan.

PSG dinafikan gol kedua dengan keputusan kontrovers­i dari video bantuan pengadil ( VAR) sebelum memerlukan tendangan penalti Edinson Cavani pada minit ke-74 untuk menjaringk­an gol kedua.

Ia adalah permainan berani dari Les Herbiers, walaupun mereka tidak kelihatan serius menafikan PSG kejuaraan keempat berturut-turut dan juga melengkapk­an penguasaan domestik.

Musim mereka masih dianggap yang terbaik walaupun tewas di pusingan kedua Liga Juara- Juara kepada Real Madrid dan kecederaan kepada pemain termahal dunia, Neymar.

Neymar hadir sebagai penonton pada perlawanan akhir itu ketika masih merawati kecederaan lutut yang dialaminya dua bulan lepas. Beliau kemudian menyertai sambutan kemenangan selepas perlawanan.

“Saya berasa gembira dengan musim kami,” kata jurulatih PSG, Unai Emery, yang akan tamat kontrak dan tidak akan kekal untuk musim ketiga.

“Kami boleh juga bercakap tentang perkara negatif seperti Liga Juara-Juara tetapi musim ini, pasukan bermain dengan baik dan sentiasa menjaringk­an gol.”

Ia mungkin perlawanan berat sebelah terbesar dalam mana-mana final pertanding­an piala dalam era moden dengan PSG – dimiliki hartawan Qatar dengan pendapatan tahun lepas sekitar 500 juta euro – menentang lawan dari divisyen tiga Perancis.

Les Herbiers membawa sekitar 15,000 penyokong – hampir sama dengan populasi bandar kecil di barat Perancis – untuk meraikan cuti umum dan disambut dengan cuaca panas di Paris.

Mereka bagaimanap­un tidak dikecewaka­n oleh pasukan mereka dan kapten Les Herbiers, Sebastian Flochon, dijemput untuk menyertai kapten PSG, Thiago Silva ketika majlis menjulang trofi.

“Saya berasa sangat bangga dengan pasukan saya. Kami bertahan dan mengelak kalah teruk dan kami mungkin mampu menjaringk­an satu gol di akhir perlawanan,” kata jurulatih Les Herbiers, Stephane Masala ketika memberitah­u penyiaran France 2.

“PSG sangat kuat, sangat pantas dan mereka membuat semua keputusan dengan betul. Kami mahu terus bertahan selama yang kami mampu. Ia adalah final yang hebat dan kami berasa bangga kerana ia adalah satu perlawanan menarik.”

PSG menewaskan Monaco 7-1 pada perlawanan terakhir mereka dan ada kebimbanga­n di mana Les Herbiers akan turut menerima nasib yang sama.

Tetapi mereka mengekalka­n kedudukan tanpa jaringan sehingga minit ke-26, dengan PSG tidak bernasib baik pada 20 minit pertama apabila tiga cubaan mereka terkena palang.

Gol pembukaan itu membakar semangat PSG tetapi Les Herbiers juga bersemanga­t untuk tidak melepaskan mana-mana gol lagi, kecuali gol Kyle Mbappe yang dibatalkan pengadil kerana Marquinhos dikatakan terpegang bola sebelum gol dijaringka­n Mbappe.

Keyakinan Les Herbiers semakin bertambah apabila PSG gagal menambah jaringan sebelum Cavani menyempurn­akan tendangan penalti ke-40 beliau musim ini selepas beliau dijatuhkan penjaga gol Matthieu Pichot.

Walaupun PSG memenangi kejuaraan, Les Herbiers menerima pujian dengan pasukan meraikan kemaraan ke final bersama-sama penonton selepas perlawanan. — AFP

 ?? —Gambar AFP ?? KEJUARAAN KEEMPAT: Cavani ketuai pemain PSG meraikan kejayaan mereka menjuarai Piala Perancis selepas tamat perlawanan di Stade de France di Saint-Denis pada Selasa lepas.
—Gambar AFP KEJUARAAN KEEMPAT: Cavani ketuai pemain PSG meraikan kejayaan mereka menjuarai Piala Perancis selepas tamat perlawanan di Stade de France di Saint-Denis pada Selasa lepas.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia