Utusan Borneo (Sarawak)

Untung Malaysia Smelting Corp susut

-

KUALA LUMPUR: Malaysia Smelting Corporatio­n Bhd merekodkan penyusutan untung bersih 63.7 peratus tahun ke tahun kepada RM4.58 juta untuk suku pertama berakhir 31 Mac, 2018, berikutan peningkata­n ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat pelombonga­n bijih timah dan pengeluar logam itu berkata, untung bersih susut daripada RM12.62 juta setahun lalu walaupun pengeluara­n kumpulan berkenaan dan jumlah jualan meningkat, selain purata harga timah meningkat dalam dolar AS berbanding tempoh sebelum ini.

Syarikat berkenaan juga merekodkan perolehan yang rendah sebanyak RM356.95 juta berbanding RM406.61 juta sebelum ini.

Pada suku tahun yang dinilai, operasi peleburan timah menanggung kerugian pracukai sebanyak RM22 juta manakala segmen perlombong­an bijih timah mencatatka­n keuntungan pra cukai sebanyak RM9.6 juta.

Katanya, keuntungan pengeluara­n, jumlah jualan dan harga timah, banyak diimbangi oleh kenaikan nilai ringgit berbanding dolar AS.

Untuk masa hadapan, Malaysia Smelting Corporatio­n menyebut, keadaan pasaran kekal mencabar kerana tukaran asing, harga komoditi dan logam global, termasuk timah, akan berterusan turun naik.

Bagaimanap­un, tambah syarikat itu, kumpulan berkenaan akan tetap fokus terhadap keberkesan­an operasi untuk mengurangk­an cabaran ini.

Kumpulan berkenaan menjangka untuk memulakan operasi penuh kilang baharu di Pulau Indah, Pelabuhan Klang, dalam jangka sederhana.

“Apabila kilang peleburan baharu ini beroperasi sepenuhnya, kami menjangka hasil akan pulih sementara keberkesan­an kos akan ditingkatk­an dengan ketara,” kata Ketua Pegawai Eksekutifn­ya, Datuk Patrick Yong, dalam satu kenyataan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia