Utusan Borneo (Sarawak)

Adly Zahari angkat sumpah Ketua Menteri Melaka ke-11

-

MELAKA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil, Adly Zahari semalam mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-11.

Istiadat Angkat Sumpah Jawatan itu berlangsun­g di hadapan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Khalil Yaakob di Dewan Seri Utama, Seri Negeri, Ayer Keroh di sini pada jam 3.50 petang.

Adly, 47, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka dan Pengerusi Amanah Melaka turut melafazkan sumpah jawatan dan taat setia serta kerahsiaan yang perlu beliau patuhi dalam tempoh memegang jawatan ketua menteri.

Turut hadir, Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya yang juga Naib Presiden PKR Shamsul Iskandar Md Akin, Ahli Parlimen Alor Gajah yang juga Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM Mohd Redzuan Yusof, Ahli Parlimen Kota Melaka yang juga Setiausaha DAP Melaka Khoo Poay Tiong dan Ahli Parlimen Tangga Batu Dr Rusnah Aluai.

Hadir sama dalam upacara istiadat berkenaan ADUN Bandar Hilir yang juga Pengerusi DAP Melaka Tey Kok Kiew, ADUN Paya Rumput yang juga Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM Mohd Rafiq Naizamohid­een, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan bekas Ketua Menteri Melaka iaitu Tan Sri Mohd Ali Rustam dan Datuk Seri Idris Haron.

PH berjaya membentuk kerajaan negeri Melaka melalui majoriti mudah apabila menakluk 15 kerusi DUN Melaka daripada keseluruha­n 28 kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), 9 Mei lepas.

PH turut memenangi empat daripada enam kerusi Parlimen iaitu Alor Gajah, Tangga Batu, Hang Tuah Jaya dan Kota Melaka.

Pada PRU14, Adly mengalahka­n calon BN Yunus Hitam dan calon PAS Muhamat Puhat Bedol dengan majoriti 3,159 undi dalam pertembung­an tiga penjuru di kerusi Bukit Katil. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? ANGKAT SUMPAH: Adly mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-11 di Melaka, semalam.
— Gambar Bernama ANGKAT SUMPAH: Adly mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-11 di Melaka, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia