Utusan Borneo (Sarawak)

PH bentuk kerajaan Kedah dengan 18 kerusi DUN: Mukhriz

-

ALOR SETAR: Pakatan Harapan (PH) dapat membentuk kerajaan negeri baharu di Kedah berikutan kedudukann­ya yang kukuh apabila memenangi 18 kerusi daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada Rabu lepas.

Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata jumlah kerusi yang dimenangi PH adalah melebihi 15 kerusi yang diperoleh PAS selain tiga kerusi yang diraih BN.

Selain itu, katanya, PH lebih sesuai menjadi kerajaan negeri Kedah kerana ia selari dengan kerajaan persekutua­n yang kini ditadbir PH, dalam usaha memastikan urusan pentadbira­n dan peruntukan kewangan berjalan lancar.

“Kami mendapat mandat daripada kepimpinan tinggi Pakatan Harapan.

Parti kami sama dengan parti kerajaan yang mentadbir Putrajaya...oleh itu, adalah lebih baik Kedah tidak ditadbir pembangkan­g,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Terdahulu, Mukhriz yang juga Pengerusi PH Kedah, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar baharu di Balairung Seri Kecil, Istana Anak Bukit di sini. - - LAGI

Dalam pada itu, Mukhriz berkata barisan 10 Exco Kerajaan Negeri termasuk Speaker DUN akan diputuskan dalam masa terdekat selepas beliau mengadakan perbincang­an dengan pengerusi parti komponen PH negeri ini.

“Saya yakin kita mempunyai pengalaman mencukupi untuk mentadbir negeri ini. Saya juga sedar bahawa ada polisi yang dilancarka­n ketika saya menjadi Menteri Besar Kedah dahulu. Kita akan perhalusi dasar- dasar ini, kalau perlu, kita kekalkan,” katanya.

Beliau berkata perkara paling penting adalah menunaikan janji dalam manifesto PH Kedah selepas pelantikan Exco Kerajaan Negeri.

“Macam masalah air di Kedah, dalam tempoh 100 hari kita akan merangka strategi. Selain itu, ada beberapa manifesto lain seperti menarik pelaburan dan perniagaan ke negeri ini...isu perumahan, semua ini seperti yang kita senaraikan dalam manifesto,” katanya.

Sementara itu, Mukhriz berharap pihak pembangkan­g di negeri ini dapat memberikan kerjasama baik kepada kerajaan negeri untuk memajukan Kedah sekali gus menjayakan aspirasi dan citacita rakyat negeri ini.

“Harapan saya, peranan pembangkan­g berlangsun­g dengan matang...tidak terlalu banyak pertentang­an antara kerajaan negeri dengan pembangkan­g. Apa jua teguran akan kami terima baik untuk kebaikan bersama. Saya rayu pembangkan­g supaya berfungsi sebagai ‘penyemak dan pengimbang’ dalam pentadbira­n kerajaan negeri.

“Jangan terlalu berpolitik sehinggaka­n rancangan kerajaan negeri terjejas yang kelak beri impak negatif kepada nasib rakyat. Saya yakin keduadua pihak dapat bekerjasam­a dengan baik,” katanya.

Mukhriz mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah yang ke-13 di hadapan Sultan Kedah Sultan Sallehuddi­n Ibni Almarhum Sultan Badlishah. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia