Utusan Borneo (Sarawak)

Turki tahan 150 tentera disyaki ada kaitan Gulen

-

ISTANBUL: Polis Turki menahan 150 anggota tentera yang disyaki mempunyai kaitan dengan pendakwah berpangkal­an di Amerika Syarikat (AS) yang menurut Ankara telah merancang satu cubaan rampasan kuasa pada 2016, lapor agensi berita milik negara Anadolu semalam.

Ia berkata mereka yang ditahan adalah di kalangan 300 kakitangan tentera termasuk 211 pegawai berkhidmat, berdepan tangkapan dalam satu siasatan oleh pendakwa raya Istanbul.

Pihak berkuasa sering mengambil tindakan sebegitu terhadap penyokong ulama Fethullah Gulen sejak rampasan kuasa pada Julai 2016, di mana 250 orang terkorban. Gulen menafikan penglibata­n.

Dalam siasatan yang sama kelmarin, polis menahan lebih 80 kakitangan pasukan tentera udara yang berkhidmat, menurut media negara.

Turki sudah menahan 160,000 orang dan memecat jumlah yang hampir sama di kalangan kakitangan awam sejak cubaan rampasan kuasa, kata pejabat hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Mac. Daripada jumlah tersebut, lebih 50,000 sudah didakwa secara rasmi dan ditahan di dalam penjara semasa perbicaraa­n mereka.

Sekutu-sekutu Turki dari Barat telah mengkritik tindakan tersebut.

Pengkritik Presiden Tayyip Erdogan telah menuduh beliau menggunaka­n rampasan kuasa yang gagal sebagai helah untuk mengekang penentang. Turki berkata langkah tersebut adalah perlu untuk menangani ancaman terhadap keselamata­n negara. — Reuters

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia