Utusan Borneo (Sarawak)

Riot bukan individu sesuai sertai PH, kata Chong

-

KUCHING: Ahli Parlimen Serian Datuk Seri Richard Riot Jaem bukan individu yang sesuai diterima dalam Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi PH Sarawak Chong Chieng Jen berkata, dengan skandal rasuah setiausaha politiknya sebelum ini, menjadikan Riot bukan karakter yang harus diterima dalam PH.

“Mengenai khabar yang menyatakan beliau ( Riot) mahu menyertai PH, beliau adalah bukan individu yang sesuai diterima dalam pakatan dengan isu skandal rasuah setiausaha politiknya yang kini masih disiasat.

“Mungkin jika ia berlaku sekalipun, beliau perlu melalui saringan Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum diterima mana-mana komponen PH.

“Sama ada masuk PKR atau Amanah tetapi bukan DAP, saya sebagai pengerusi DAP memang menolak beliau menyertai parti kami,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan mesyuarat bersama wakil Jabatan Pendidikan Negeri di sini, semalam.

Chong juga Ahli Parlimen Stampin secara peribadi menasihati parti komponen PH lain di Sarawak supaya tidak sewenang-wenangnya menerima ahli komponen Barisan Nasional (BN).

Beliau menegaskan ia teru- tama kepada mereka yang mempunyai kepentinga­n diri selain karakter terlibat dengan rasuah dan sebagainya.

“Kami terhutang budi kepada rakyat yang memilih PH, mereka memilih kami berdasarka­n keinginan melihat kerajaan yang bersih dan berintegri­ti,” katanya sambil memberitah­u bahawa akan memaklumka­n pendapatny­a mengenai Riot kepada Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian.

Sementara itu Baru dipetik melalui laman portal Malay Mail menafikan menerima borang permohonan daripada bekas Menteri Sumber Manusia, Riot untuk menjadi ahli parti.

Ditanya sama ada PKR menerima Riot sebagai ahli sekiranya memohon keahlian, Baru berkata, ia terlalu awal untuk menjawab soalan pada peringkat ini.

“Tular media sosial bahawa Riot telah menyerahka­n borang keahlianny­a tidak benar,” kata Ahli Parlimen Selangau yang baharu itu.

Baru berkata, beliau tidak pasti sama ada Riot, yang dipilih semula sebagai Ahli Parlimen Serian pada PRU lepas akan mahu menyertai PKR.

Katanya, beliau hanya mendengar khabar angin tentang Riot, yang juga timbalan presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), daripada pihak ketiga.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia