Utusan Borneo (Sarawak)

Dua termasuk menantu ditahan bantu kes bunuh warga emas

-

MELAKA: Polis menahan dua suspek termasuk menantu kepada wanita warga emas yang dipercayai dibunuh dalam kejadian samun di Taman Seri Duyong di sini pada 6 Mei lepas, untuk membantu siasatan kes itu.

Timbalan Ketua Polis Melaka Datuk Sun Teoh Tia berkata, suspek yang masing-masing wanita dan lelaki berusia 26 tahun dan 20-an itu ditahan dalam dua tangkapan berasingan di dua lokasi berbeza.

“Suspek pertama merupakan menantu perempuan kepada warga emas tersebut ditahan pada hari kejadian (6 Mei) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah antara jam 5 petang dan 6 petang.

“Suspek kedua pula adalah rakan kepada suspek pertama yang ditahan di Johor Bahru pada Ahad lepas kira-kira 4 pagi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Wanita Bersama Mencegah Jenayah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Bukit Beruang di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembang­an siasatan kes melibatkan C. Shelliee, 67, yang dijumpai tertiarap di atas katilnya dengan keadaan mulut berdarah dalam kejadian kira-kira jam 1.40 pagi 6 Mei.

Mengulas lanjut, Sun berkata, kedua-dua suspek terbabit masih direman sehingga Jumaat ini bagi membolehka­n siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata siasatan awal mendapati motif wanita berkenaan dibunuh dipercayai adalah samun dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Katanya, terdapat dua lagi suspek yang dipercayai turut terlibat dalam kejadian itu dan identiti mereka telah dikenal pasti.

“Dua tangkapan baharu itu dijangka akan dilakukan dalam masa terdekat untuk membantu siasatan lanjut kes berkenaan,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia