Utusan Borneo (Sarawak)

ABIM gesa kerajaan suarakan pendirian Malaysia isu Palestin

-

KUALA LUMPUR: Badan Bukan Kerajaan (NGO) Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa kerajaan untuk menyuaraka­n pendirian Malaysia berhubung isu Palestin yang semakin meruncing terutama selepas pengisytih­aran Amerika Syarikat terhadap Baitulmuqa­ddis sebagai ibu negara Israel dan pemindahan kedutaan Amerika, kelmarin.

Presiden ABIM Mohamad Raimi Abdul Rahim berkata, ketegasan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam memperjuan­gkan isu Palestin pasti akan didengari dan didukung oleh masyarakat antarabang­sa.

“Rancangan Amerika dan Israel itu merupakan manifestas­i pengulanga­n episod baharu ‘ malapetaka’ yang diratapi jutaan rakyat Palestin sejak 70 tahun lalu. Lebih memburukka­n ialah pembunuhan rakyat Palestin dalam Perarakan Pulang Besar-Besaran (Great Return March-GRM) di Semenanjun­g Gaza berlaku secara terang-terangan ketika umat Islam sedang bersiap menyambut Ramadan.

“Sehingga kini seramai 58 rakyat Palestin diberitaka­n syahid di Semenanjun­g Gaza dan angka ini pasti meningkat menjelang Ramadan ini.

ABIM berharap perdana menteri menyuaraka­n ketegasan pendirian Malaysia mengenai isu ini,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Sehubungan itu, Mohamad Raimi berkata komuniti dunia perlu terus memberi tekanan diplomatik kepada Israel dan Amerika malah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) wajar menggantun­g keanggotaa­n kedua-dua negara itu selain melaksanak­an sekatan ketenteraa­n dan ekonomi.

Dalam pada itu, Mohamad Raimi berkata ABIM bersama Global Peace Mission (GPM) Malaysia melancarka­n Tabung Bantuan Kemanusiaa­n Palestin melibatkan bantuan perubatan yang diperlukan rakyat Palestin yang tercedera akibat kekejaman Zionis.

“ABIM menyasarka­n kutipan sebanyak RM500,000 untuk bantuan kesihatan dan perubatan kepada mereka yang akan diserahkan pada Ramadan ini. Bantuan awal sebanyak RM20,000 akan diserahkan kepada GPM bagi tujuan ini.

“Orang ramai yang ingin turut membantu boleh memasukkan dana bantuan ke dalam akaun bank GPM di 14-023-01-002922-4 (Bank Islam Malaysia Berhad), 1051-9000-2871 (Affin Islamic Bank Berhad) atau 5642-2161-1602 (Maybank Islamic Berhad). Transaksi dalam talian boleh dibuat di laman sesawang https://www. billplz.com/palestin,” tambahnya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia