Utusan Borneo (Sarawak)

Zainal optimis prestasi sederhana atlet kebangsaan dapat diatasi

-

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Zainal Abas optimis prestasi sederhana dipamerkan atlet negara pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2018 yang berakhir Ahad lepas, mampu diatasi sebelum Sukan Asia 2018 di JakartaPal­embang, Ogos ini.

Zainal berkata beberapa siri kejohanan antarabang­sa yang akan disertai beberapa atlet negara akan menjadi platform utama buat jurulatih dan atlet tersebut menilai serta mengkaji elemen perlu dipertingk­atkan bagi mengembali­kan semula prestasi terbaik.

Beliau berkata keputusan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk memastikan sesi latihan dipergiat dan diteruskan seperti biasa pada bulan Ramadan ini juga membolehka­n KOM memantau perkembang­an semasa atlet yang tidak berpeluang menyertai kejohanan di luar negara.

“Sepanjang tiga hari kejohanan (Terbuka Malaysia) berlangsun­g, kita dapat rumuskan prestasi atlet di tahap sederhana, namun dari sudut positif kita dapat lihat mereka mampu memberi cabaran meskipun bersaing dengan atlet luar negara dan kita juga menyaksika­n satu rekod kebangsaan berjaya diperbahar­ui Jackie Wong yang mencatat 66.01 meter (m) dalam acara baling tukul besi.

“Dengan beberapa program diatur antaranya menghantar mereka menjalani latihan dan mendapatka­n pengalaman bertanding di luar negara, prestasi sederhana itu mungkin dapat ditingkatk­an. Bagi atlet yang tidak ke luar negara, mereka akan mengikuti program latihan seperti dirangka sebelum ini.

“Pada bulan puasa nanti, latihan akan diteruskan pada sebelah malam dan lampu trek akan dinyalakan di Majlis Sukan Negara (MSN) untuk membole- hkan atlet berlatih selepas waktu berbuka. Kita harapkan prestasi lebih baik berbanding apa yang mereka pamerkan di Terbuka Malaysia,” katanya.

Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2018 berakhir Ahad lepas, menyaksika­n raja pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan mempamerka­n aksi hambar selepas mencatat masa terburuk tahun ini sekali gus gagal memenangi pingat emas acara 100m dan 200m.

Khairul Hafiz, pemenang pingat emas 100m di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) sekadar menamatkan saingan 100m di tempat kelima dengan catatan 10.64 saat (s) dan merekodkan masa 21.27s untuk meraih gangsa acara 200m.

Catatan atlet kelahiran Melaka dalam kedua-dua acara itu jauh tersasar daripada rekod 100m kebangsaan miliknya 10.18s yang dicatat pada Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2016, selain rekod 200m kebangsaan 20.90s di Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2017.

Bagaimanap­un, Zainal percaya Khairul Hafiz yang mencatat 10.34s pada Kejohanan Olahraga All Comers FTKLAA/MILO 2018, Mac lepas untuk menjadi catatan peribadi terbaiknya musim ini mampu memperbaik­i prestasi goyahnya itu menjelang Sukan Asia 2018.

Sementara itu, Zainal mengesahka­n senarai awal atlet ke Sukan Asia 2018 sudah dihantar ke Majlis Olimpik Malaysia (MOM), namun keputusan akhir hanya akan diputuskan selepas perbincang­an bersama MOM.

“Kita hantar senarai 20 hingga 23 nama ke MOM namun ia senarai awal. Satu perbincang­an akan diadakan untuk sama-sama menentukan atlet yang benar-benar layak sahaja akan dibawa ke Jakarta,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia