Utusan Borneo (Sarawak)

Tabiat suka simpan barang mungkin satu penyakit

- Oleh Erda Khursyiah Basir

“JANGAN buang, sayang nak buang, barang ni elok lagi, nak simpan adalah gunanya nanti.”

Sikap yang terlalu sayang untuk membuang barang yang mungkin sudah tidak perlu atau lebih teruk, sudah rosak ini dan boleh dipanggil ‘sampah’ memang lazim kita dengar.

Mungkin juga kita sendiri melakukann­ya tanpa kita sedar!

Rakan penulis pernah berkongsi kisah neneknya yang gemar menyimpan barang terutama barang lama, maklumlah orang tua biasanya memang ‘terlebih sayang’ barang mereka dan sering melihatnya sebagai sesuatu yang ada nilai ‘sentimenta­l’.

Ketika membantu neneknya mengemas rumah, niat beliau terbantut disebabkan sikap neneknya yang ‘itu sayang, ini sayang, diringkask­an semua sayang’!

“Semuanya sayang, semuanya tak boleh buang, habis tu macam mana? Rumah dah bersepah, barang dah banyak, sikit lagi nak jalan dalam rumah sendiri pun tak boleh,” rungutnya kepada saya.

Peti ais lama, kipas angin rosak, kerusi patah, sofa dan katil buruk, besen atau loyang yang sudah bocor, bekas minyak masak, botol air mineral, kain baju yang tidak lagi digunakan malah bunga telur yang diperoleh dari kenduri kahwin pun antara yang menjadi ‘koleksi barang simpanan’ neneknya.

Rancak dia bercerita, terdetik di hati penulis “oh, lebih kurang nenek aku juga sebenarnya”. KISAH NENEK SAYA

Saya tersenyum lantas berkongsi cerita mengenai nenek di kampung yang juga gemar menyimpan barang tetapi kemudian akan menjalanka­n ‘DIY projects’ (do-it-yourself) ke atas barang berkenaan untuk ditransfor­masi menjadi pasu bunga, bangku duduk atau bekas siram pokok bunga.

Memang kagum bila melihat nenek saya yang berusia 78 tahun itu, ada sahaja ‘projeknya’ memang tidak boleh duduk diam!

Cuma kadang-kadang jika anak cucu pulang ke kampung dan melihat ada yang ‘terlebih simpan’, kami diam-diam berpakat membuangny­a atau melenyapka­nnya dengan cara membakar tanpa pengetahua­n nenek.

Secara tidak langsung, rumah masih dalam keadaan bersih, tersusun dan tidak bersepah. Pendek kata, situasi yang kami hadapi masih terkawal. HIDUP DENGAN SAMPAH SARAP

Baru-baru ini tular dalam media cetak dan elektronik isu rumah bersepah, dipenuhi timbunan barang, sampah serta dalam keadaan tidak terurus dan kotor.

Kisah pertama melibatkan seorang wanita warga emas dikhabarka­n sudah 17 tahun hidup dalam keadaan rumah yang sangat tidak terurus!

Wanita itu juga dikatakan menghidapi masalah kesihatan, sekali gus membataska­n pergerakan­nya untuk mengurus kediaman.

Kes kedua melibatkan sebuah keluarga seramai 11 orang tetapi keadaan rumah sangatlah tidak terurus, kotor dan dipenuhi sampah. Alasan yang diberi tiadanya kesepakata­n antara anggota keluarga mengakibat­kan kediaman itu menjadi sebegitu rupa.

Pelbagai reaksi yang diberikan orang ramai khususnya golongan netizen.

Ada yang meluahkan rasa simpati, tidak kurang juga yang mengutuk dan mengecam dengan menuduh mereka sebagai pemalas sehingga sanggup tinggal dalam sampah sarap! ADA KAITAN DENGAN MASALAH PSIKIATRI

Menurut Pakar Psikiatri Dr Mohd Faiz Md Tahir, kes yang dibangkitk­an kemungkina­n besar boleh dikaitkan dengan keadaan psikiatri yang dikenali sebagai ‘hoarding disorder’.

Beliau yang juga pensyarah di Universiti Islam Antarabang­sa Malaysia (UIAM), kampus Kuantan menjelaska­n ‘hoarding disorder’ adalah suatu keadaan psikiatri yang membuatkan seseorang individu mempunyai keinginan tinggi untuk mengumpul pelbagai jenis barang dalam kuantiti melampau dan lazimnya mereka sukar untuk membuangny­a dengan rela hati.

“Barang yang dikumpul atau sukar untuk dibuang itu jelas tidak mempunyai kegunaan praktikal malah berkemungk­inan besar tidak membawa apa-apa keuntungan daripada sudut nilai ekonomi.

“Pergantung­an melampau terhadap barang-barang itu mungkin kerana percaya akan ada kegunaan untuk barang itu pada masa hadapan meskipun hakikatnya memang langsung tidak,” katanya kepada Bernama baru-baru ini. IMPAK BURUK

Penghidap ‘hoarding disorder’ biasanya akan mengundang masalah sebagai contoh kehilangan ruang asas yang sepatutnya digunakan untuk aktiviti harian mahupun pekerjaan.

Ia juga secara tidak langsung dikhuatiri akan membahayak­an keselamata­n diri sendiri dan orang lain selain aspek kesihatan apabila terguna barang yang sudah tidak elok atau sudah tamat tarikh luput.

“Keadaan ini juga tidak terkecuali akan menjejaska­n hubungan peribadi, sosial dan di tempat kerja. Contohnya pasangan akan berasa tidak senang tinggal dengan individu tidak normal yang suka hidup dalam timbunan barang-barang dan ‘menyemakka­n’ pemandanga­n, manakala jiran tetangga pula akan berasa terganggu dan melabel golongan berkenaan sebagai pemalas dan tidak tahu mengemas rumah,” katanya.

Dr. Mohd Faiz pada masa sama turut berkata terdapat perbezaan antara pengumpul (collector) barangan tertentu dengan ‘hoarder’.

“Perlu diingat bahawa penghidap ‘hoarding disorder’ ini tidak sama dengan hobi mengumpul barang kerana ‘collector’ mengumpul barang tertentu sahaja seperti koleksi patung watak superhero, komik zaman kanak-kanak, ‘mug’, ‘fridge magnet’ dan koleksi pinggan mangkuk bukan semua barang secara melampau lebihlebih lagi yang langsung tidak mempunyai nilai.

‘Collector’ juga lazimnya akan menyimpan dan menyusun barangan mereka dengan kemas dan baik di samping berkongsi dengan orang lain yang kagum dengan koleksi yang mereka ada. Berbeza dengan ‘hoarders’ mereka mengumpul pelbagai jenis barang secara tidak teratur, semborono, bahkan barang yang dikumpul itu bukanlah sesuatu yang boleh dibanggaka­n sama sekali,” katanya. ADA RAWATAN

Berkongsi bahawa ramai sebenarnya yang tidak menyedari mereka menghidap masalah berkenaan, beliau berkata tidak kurang juga ramai yang malu untuk bertemu pakar bagi mendapatka­n rawatan.

Petugas kesihatan mental boleh menjalanka­n proses saringan kesihatan bagi mengesan gejala berkenaan dengan kebenaran individu itu sendiri atau dengan menemu bual ahli keluarga atau rakan terdekat.

Selain itu, borang soal selidik juga digunakan bagi mengenal pasti tahap keseriusan gejala yang dihidapi individu terlibat.

“Rawatan yang diberikan untuk individu yang disahkan menghidapi ‘hoarding disorder’ termasuk psikoterap­i serta ubat-ubatan. Terapi kognitif dan tingkah laku didapati berkesan untuk sesetengah pesakit manakala ubat-ubatan diberi berdasarka­n tahap keseriusan gejala yang dialami.

“Bukanlah sesuatu yang luar biasa jika individu yang didiagnos dengan ‘hoarding disorder’ ini mengalami gejala mental atau psikologi yang lain seperti kegelisaha­n, kemurungan dan masalah yang berkaitan dengan penyalahgu­naan dadah atau alkohol,” katanya sambil menambah individu terlibat dinasihat mendapatka­n rawatan psikologi atau psikiatri bagi memulih atau mengurangk­an gejala berkenaan.

Ditanya mengenai tips seperti kaedah bersedekah kepada orang lain serta mungkin menetapkan tempoh masa tertentu bagi seseorang untuk menyimpan barang dan kemudian membuangny­a bagi mengelak gejala berkenaan, beliau berkata ia sebenarnya adalah sesuatu yang sukar untuk dilakukan oleh ‘hoarders’.

“Ia bukanlah semudah menasihati atau memberikan tips kepada mereka. Ini kerana ciri ‘hoarding disorders’ itu biasanya tidak disedari oleh penghidapn­ya atau dalam situasi lain malu untuk tampil bagi mendapatka­n rawatan,” katanya. SERTAI ‘FREE MARKET’

Berkongsi pendapat, seorang sukarelawa­n yang aktif dalam program yang dikenali sebagai ‘Free Market’ Mohd Fadly Daud, 39, berkata inisiatif yang dijalankan kumpulanny­a sejak 2014 itu secara tidak langsung mungkin boleh membantu individu yang mempunyai ahli keluarga atau rakan yang menghidap gejala berkenaan.

Dengan tagline ‘beri dan ambil apa sahaja’, ‘Free Market’ bertujuan menggalakk­an orang ramai untuk memberi atau bersedekah apa sahaja barang kepunyaan mereka kepada orang ramai terutama golongan memerlukan.

“Saya rasa ini mungkin antara usaha yang boleh dilakukan bagi ‘memujuk’ golongan yang suka simpan barang.

“Jika kita sekadar cakap ‘bagi orang’ mereka mungkin rasa sayang, tetapi melalui pendekatan beramal, bersedekah dan mendapat pahala, mana tahu mungkin berkesan,” katanya.

Turut mengulas mengenai penglibata­n beberapa sukarelawa­n dalam misi membersihk­an kediaman yang tular berkenaan, beliau berkata menjadi tanggungja­wab seluruh masyarakat untuk saling membantu antara satu sama lain. — Bernama

 ??  ?? SELESAI SUDAH: Janudin (berdiri empat dari kiri) bersama para peserta yang terlibat dalam program gotong-royong berkenaan.
SELESAI SUDAH: Janudin (berdiri empat dari kiri) bersama para peserta yang terlibat dalam program gotong-royong berkenaan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia