PH Sarawak guna logo HARAPAN pada PRN
MIRI: Pakatan Harapan (PH) Sarawak akan menggunakan logo HARAPAN pada kempen pilihan raya sebagai menandakan penyatuan antara parti komponen.
Setiausaha PH Sarawak Alan Ling berkata buat pertama kalinya logo digunakan pada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan dalam tempoh kurang tiga tahun lagi.
“Paling cepat kita menggunakan logo ini ialah ketika bertanding pada PRN yang tempoh akhirnya adalah pada 2021 atau lebih awal,“katanya di sini semalam.
Alan percaya PH mengukuhkan struktur organisasi dan koordinasi ke arah mewujudkan hubungan kerja lebih baik antara parti komponen.
Katanya, ini termasuk mengendalikan rangka kerja lebih teratur dan landasan efisien untuk semua ahli.
“Fokus dan tugas utama kita adalah mengemba- likan hak-hak yang terhakis dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia,” jelasnya yang juga setiausaha DAP Sarawak.
Kuasa yang perlu dikembalikan melibatkan bidang perdagangan, cukai, pendidikan, sukan, perkhidmatan awam, kesihatan, keselamatan sosial, pembangunan infrastruktur, minyak dan gas serta pelancongan.
Alan berkata, dalam tempoh 100 hari, PH turut menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet dianggotai wakil dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak untuk menguatkuasakan hak di bawah MA63.
“Jawatankuasa juga melapor dan memberi cadangan untuk pelaksanaan efektif kepada kabinet dalam tempoh enam bulan,” jelasnya.