Utusan Borneo (Sarawak)

Royalti minyak: Rakyat Terengganu akan terima manfaat

-

KUALA TERENGGANU: Rakyat Terengganu tetap akan menerima manfaat hasil nilai yang setara dengan royalti minyak dan gas daripada kerajaan persekutua­n Pakatan Harapan, namun ia tidak akan diberi secara langsung kepada pentadbira­n kerajaan negeri pimpinan PAS ketika ini.

Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail berkata kerajaan Terengganu tidak perlu mempolemik­kan isu royalti minyak sehingga mengeliruk­an rakyat kerana Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan memikirkan kaedah yang sesuai agar manfaatnya diterima secara langsung oleh rakyat negeri itu.

Azan, yang juga Timbalan Pengerusi PH Terengganu berkata, kerajaan negeri ketika ini tidak berhak menuntut royalti kerana terdapat halangan yang jelas dari sudut perundanga­n apabila kerajaan Terengganu sebelum ini di bawah pentadbira­n Barisan Nasional sendiri secara sukarela telah menarik balik tuntutan saman terhadap kerajaan persekutua­n satu ketika dahulu.

“Oleh kerana pentabiran yang berbeza di antara kerajaan pusat dan negeri ketika ini, isu tuntutan hak pembayaran royalti kini hanya tertumpu kepada proses rundingan politik sahaja antara kerajaan PAS Terengganu dengan kerajaan pusat,” katanya dalam sidang media di sini semalam.

Kelmarin, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim menyuaraka­n harapannya supaya kerajaan pusat tidak mengulangi kesilapan BN seterusnya menghormat­i Perjanjian Pembanguna­n Petroleum 1975 dengan mengembali­kan bayaran royalti kepada Terengganu.

Kenyataan itu dibidas Pengerusi Pakatan Harapan Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah yang mahu kerajaan negeri menggunaka­n pendekatan lebih beradab sekiranya mahu mewujudkan kerjasama dengan kerajaan pusat khasnya berkaitan royalti minyak. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia