Utusan Borneo (Sarawak)

Loke jamin Tokong Then Sze berusia 154 tahun akan diberikan status pemilikan tanah

-

SEREMBAN: Anthony Loke Siew Fook yang dinamakan sebagai Menteri Pengangkut­an memberi jaminan bahawa Tokong Then Sze, sebuah tokong berusia 154 tahun dan merupakan antara tokong tertua di Negeri Sembilan, akan diberikan status pemilikan tanah.

Beliau berkata perkara itu akan dimaklumka­n kepada Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun dalam masa terdekat untuk menyelesai­kan isu status pemilikan tanah di tokong berkenaan.

“Tokong ini bukan hanya tempat beribadat tetapi juga sebagai tarikan pelancong. Sebagai anggota Parlimen Seremban, saya akan pastikan setiap tahun kita akan memberikan peruntukan untuk memulihara tokong ini. Saya akan gunakan peruntukan kawasan saya kepada tokong ini,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke tokong berkenaan.

Sementara itu, dalam perkembang­an lain, Loke yang juga Pengerusi DAP Negeri Sembilan berkata akan terdapat satu portfolio baharu dalam kerajaan Negeri Sembilan iaitu Hal Ehwal Bukan Muslim.

“Exco baharu dengan potfolio baharu hal ehwal bukan Islam, ia dinyatakan dalam manifesto kami … banyak isu yang dihadapi tokong, gereja dan kuil Hindu,” katanya.

Loke berkata setelah dinamakan sebagai Menteri Pengangkut­an, beliau tidak akan menjadi salah seorang Exco kerajaan negeri.

“Saya sudah memberikan nama-nama (calon Exco) kepada menteri besar dan biarlah menteri besar yang mengumumka­n formasi kerajaan negeri,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chennah. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia