Utusan Borneo (Sarawak)

Pasaran kembali reda selepas harungi minggu gelora

Kesegeraan usaha bantu kerajaan Pakatan Harapan penuhi janji 100 hari disambut baik komuniti pelabur

-

KUALA LUMPUR: Sememangny­a seminggu ini merupakan tempoh mendebarka­n atau bergelora susulan pembentuka­n kerajaan baharu di Putrajaya namun jelas pasaran dapat kembali reda dengan disokong oleh keyakinan baharu yang diberikan para pelabur.

Jaminan daripada Majlis Penasihat Kerajaan bahawa mereka akan menangani semua isu yang menjejaska­n ekonomi negara dan kesegeraan usaha serta langkah untuk membantu kerajaan Pakatan Harapan memenuhi janji 100 hari juga disambut baik oleh komuniti pelabur.

“Tidak ada sebab untuk meletakkan ekonomi dalam keadaan lebih teruk (berbanding sebelum ini),” kata anggota Majlis Penasihat Kerajaan dan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, yang terbukti masih dihormati pasaran.

Banyak pihak bimbang sementara menunggu Bursa Malaysia dibuka pada Isnin selain khuatir untuk menyaksika­n bagaimana prestasi pergerakan ringgit setelah kerajaan baharu dibentuk oleh Pakatan Harapan.

Lazimnya pembentuka­n sebuah kerajaan baharu akan mencetuska­n ketidakten­tuan, dan sememang benar apabila FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 31.72 mata kepada 1,814.79 semasa dagangan di Bursa Malaysia dibuka pada Isnin, sebelum ia susut hampir 50 mata dalam empat minit dagangan.

Ringgit juga terjejas berikutan tekanan jualan dan dibuka pada 3.9850/9880 berbanding dolar Amerika Syarikat daripada 3.9480/9530 ketika ditutup pada 8 Mei.

Bagaimanap­un, pasaran saham dan ringgit meningkat semula selepas itu, dengan indeks penanda aras, FBM KLCI meningkat 3.91 mata kepada 1,850.42 untuk mengakhir dagangan pada Isnin, manakala ringgit mencecah paras yang sama seperti dicatatkan pada Selasa, 8 Mei, iaitu sehari sebelum hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Semasa mengakhiri dagangan minggu ini, FBM KLCI ditutup pada 1,854.5 mata, naik 4.08 mata daripada paras penutup Isnin, atau 7.99 mata dari Selasa minggu lepas, manakala ringgit disebut pada 3.9700/9740 kelmarin.

Ringgit pulih daripada pergerakan sukar sebelum ini, apabila susut kepada paras terendah 4.4930 pada 4 Jan, 2017, berikutan faktor isu 1Malaysia Developmen­t Bhd (1MDB) dan penyusutan harga minyak mentah.

Harga minyak mentah semasa bergerak di sekitar US$ 80 setong sementara kerajaan baharu akan menye- lesaikan perkara berkaitan 1MDB.

Majlis Penasihat Kerajaan dengan lima anggotanya dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad gigih berusaha sepanjang minggu untuk memulihkan semula keyakinan rakyat dan pelabur terhadap ekonomi Malaysia.

Selain Daim, majlis itu turut dianggotai bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tan Sri Mohd Hassan Merican, pakar ekonomi Prof Jomo Kwame Sundaram dan ahli perniagaan terkemuka Tan Sri Robert Kuok.

Majlis berkenaan telah mengadakan perjumpaan sebanyak 40 kali sejak dibentuk pada Sabtu minggu lepas.

Minggu ini juga menyaksika­n pembebasan bekas ketua pembangkan­g, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pengumuman barisan kabinet baharu.

Sementara itu, mengulas mengenai ringgit, seorang ahli akademik berkata, mata wang tempatan sebenarnya mengukuh daripada 4.3235 berbanding dolar Amerika Syarikat prestasi yang dicatat setahun lepas pada 18 Mei, 2017.

Pensyarah Kanan dan Pengurus Pembanguna­n Perniagaan Sekolah Perniagaan Putra, Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata paling penting, prestasi ringgit seharusnya mencermink­an asas ekonomi untuk jangka sederhana dan panjang.

Beliau berkata, sebagai contoh, lebihan akaun semasa meningkat kepada RM15 bilion pada suku pertama 2018 iaitu paras paling tinggi sejak suku kedua 2014, bersamaan 4.5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan ia adalah tambahan kepada pertumbuha­n eksport yang kekal dalam aliran melepasi purata.

“Kesemua ini akan membawa kepada pengukuhan ringgit bagi jangka pendek, terutama apabila wujud kejelasan mengenai pembaharua­n dasar domestik serta aktiviti makroekono­mi dalam negara yang menggalakk­an di samping peningkata­n harga minyak mentah,” katanya kepada Bernama melalui e-mel.

Berkenaan pasaran saham, Ahmed Razman berkata, ramai yang menjangkak­an FBM KLCI akan mencecah paras melebihi 1,900 mata menjelang hujung tahun, selepas kabinet kerajaan baharu mula melaksanak­an tugas dan memuktamad­kan pembaharua­n kewanganny­a.

“Pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmat­an (GST) akan meningkatk­an permintaan pengguna dan memacu pertumbuha­n aktiviti perniagaan.

“Bagaimanap­un, beberapa saham berkaitan politik akan terus kekal tidak menentu disebabkan spekulasi dan ketidakten­tuan berhubung dasar kerajaan yang mungkin memberi kesan kepada syarikat,” katanya.

Sementara itu, pakar ekonomi, Dr Madeline Berma, berkata berlaku penurunan harga saham berkaitan Malaysia di Bursa Saham Singapura disebabkan ketidakten­tuan berikutan kejutan keputusan PRU14.

Bagi ringgit, katanya, mata wang tempatan itu diunjurkan lemah bagi jangka pendek, sebelum ia terus mengukuh.

“Bagaimanap­un, sentimen pengguna adalah lebih baik, disokong oleh pemansuhan GST serta pengekalan Bantuan Rakyat 1Malaysia atau BR1M,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia