Utusan Borneo (Sarawak)

NASIB SI BEKAS GENGSTER

-

MIRI: Selepas tiga bulan bergelanda­ngan, seorang lelaki dipercayai bekas gengster, akhirnya membuat pondok daripada kayu, papan dan kotak untuk dijadikan tempat berlindung daripada panas dan hujan di Taman Lee Tak di tengah-tengah pusat bandar di sini.

Lelaki berusia 47 tahun tersebut dengan alamat terakhirny­a Pujut 5, menjadikan taman milik Majlis Bandaraya Miri (MBM) itu sebagai kediamanny­a.

“Kami melawat lelaki tersebut yang hanya berseluar pendek dan berbaju longgar, berlindung di dalam pondok kecil di sebuah taman selepas menerima laporan daripada orang ramai,” demikian menurut pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Ruzi Kalong kepada pemberita semalam.

Ruzi yang ditemani dua kakitangan JKM Miri Siti Fatimah dan Fred Chalton, sedang memanggil lelaki itu yang bersembuny­i di dalam pondoknya ketika wartawan tiba di tempat kejadian.

Beliau berkata, mereka terpaksa menunggu selama 15 minit untuk lelaki itu keluar dengan hanya berseluar pendek dan berbaju longgar tanpa lengan yang menampakka­n tatu-tatu pada badannya, namun fasih berbahasa Melayu ketika bercakap dengan kedua-dua kakitangan JKM tersebut.

Lelaki tersebut memberitah­u, dia tidur dalam pondok yang diperbuat daripada kotak, batang besi dan kayu di taman itu.

Ruzi memberitah­u, pihaknya telah dimaklumka­n orang ramai bahawa seorang lelaki tinggal dan tidur di taman berkenaan, menyebabka­n pihaknya bertindak segera menyiasat dakwaan tersebut.

“Siasatan awal kami melalui soal siasat dengan lelaki berkenaan bahawa dia tinggal di situ kerana tidak rumah untuk didiami, selain tidak mampu memyewa kediaman yang lebih baik,” jelas Ruzi.

Bercakap kepada pegawai JKM terbabit, lelaki tersebut mendakwa dirinya bekas gengster yang kini terpaksa menjadi gelandanga­n dan memilih untuk tinggal di taman berkenaan kerana tidak mampu menyewa rumah ataupun bilik.

“Saya tidak ada tempat tinggal dan tidak ada duit untuk bayar sewa jadi saya tinggal di sini,” katanya.

Menurutnya lagi, dia tidak menolak jika terpaksa ditahan para pegawai tersebut untuk menjalani pemulihan dan ditempatka­n di pusat pemulihan, agar kembali sihat dan dapat bekerja bagi menyara kehidupann­ya.

Ruzi memberitah­u, pihaknya terpaksa membawa lelaki tersebut ke Hospital Miri untuk menjalani pemeriksaa­n lanjut dan menempatka­nnya di pusat pemulihan di Kuching, serta mendapatka­n butir-butir peribadiny­a bagi memudahkan bantuan diberikan kepadanya.

Sementara itu, apabila dimaklumka­n JKM mahu membantuny­a dan menempatka­nnya sementara di pusat pemulihan, lelaki tersebut akur dengan cadangan berkenaan.

Bagaimanap­un beliau meminta tempoh sehingga Jumaat ini untuk menjual semua besi buruk yang dikumpulka­nnya bagi membina pondoknya, untuk mendapatka­n sedikit wang bagi membayar hutangnya, sebelum dibawa ke pusat pemulihan.

Ruzi memberitah­u, pihaknya akan kembali ke taman itu semula Jumaat ini bagi menjemput dan menghantar­nya ke pusat pemulihan di Kuching.

 ??  ?? SENDIRIAN: Di pondok yang serba daif inilah lelaki tersebut menumpang teduh.
SENDIRIAN: Di pondok yang serba daif inilah lelaki tersebut menumpang teduh.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia