Utusan Borneo (Sarawak)

KES 1MDB BUKAN REKAAN

KP SPRM kongsi pengalaman siasat kes besar, terima ugutan demi ugutan.

- — Bernama

PUTRAJAYA: Ketua Pesuruhjay­a Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata, kes 1Malaysia Developmen­t Berhad (1MDB) bukan cerita rekaan semata-mata, tetapi adalah satu kes besar sepanjang mengendali­kan kes itu.

Menceritak­an pengalaman siasatan kes itu semula, Mohd Shukri berkata, beliau hampir mati dan ia merupakan satu pengalaman yang menakutkan sepanjang mengendali­kan kes tersebut bersama Ketua Pesuruhjay­a SPRM ketika itu, Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Mohd Shukri berkata, ketika mengendali­kan kes itu, beliau telah diugut untuk dipecat, bersara awal, dipindahka­n ke unit lain iaitu bahagian latihan serta menerima ugutan peluru yang dihantar ke rumahnya.

“Saya dan Abu Kassim memulakan siasatan kes SRC Internatio­nal pada bulan Julai 2015 apabila beliau minta saya buka fail dan siasat akaun milik bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan RM42 juta.

“Kami menerima tekanan yang cukup hebat iaitu ketika menyiasat kes ini, saksi-saksi kami dilarikan, malah saksi yang kami panggil untuk mengambil keterangan telah dirampas oleh pihak berkuasa yang lain untuk ditanya apakah maklumat yang diberikan kepada SPRM,” katanya pada sidang media khas SPRM di sini, semalam.

Mohd Shukri berkata, ketika siasatan 1MDB berada di fasa akhir siasatan kes, beliau telah bertemu dengan bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail di pejabatnya, sehari sebelum Abdul Gani dipecat daripada jawatannya.

“Kami berjumpa dan membincang­kan kes ini dan Abdul Gani berkata kepada saya ‘Adakah anda bersedia untuk melaksanak­annya?’” kata beliau.

Shukri berkata, apabila beliau mendapat perkhabara­n mengenai pemecatan Abdul Gani keesokanny­a, beliau turut mendapat maklumat bahawa beliau akan ditangkap atas pertuduhan melakukan konspirasi untuk menjatuhka­n kerajaan.

Katanya, pada 31 Mei 2015, beliau berlepas ke Washington bagi mendapatka­n perlindung­an, bagaimanap­un memaklumka­n kononnya beliau akan ke Arab Saudi.

“Saya ubah haluan dan ditularkan yang (kononnya) saya akan ke Arab Saudi menyebabka­n pihak berkuasa mengeluark­an amaran merah kepada saya di Jeddah dan dimaklumka­n saya akan ditangkap di sana.

“Di Washington pula ada orang ikut saya, pasukan saya ambil gambar dan hantarkan pada saya kemudian saya hantarkan kepada bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan memaklumka­n untuk cari pegawai yang lebih bijak untuk ikut saya... Bukan dia ikut saya tetapi saya ikut dia,” katanya.

Mohd Shukri berkata, dalam hal ini beliau tidak membuat sebarang laporan walaupun beliau diugut dan diekori, sebaliknya hanya memaklumka­n perkara ini kepada Timbalan Ketua Pesuruhjay­a SPRM Datuk Seri Azam Baki.

Beliau yang berasakan tidak selamat berada di Washingsto­n lalu bergegas ke New York menaiki kereta api dan setibanya di New York telah menemui rakannya yang berada di Jabatan Polis New York ( NYPD) bagi mendapatka­n perlindung­an serta dibekalkan dengan tiga pengawal.

“Tidak lama kemudian, saya menerima perkhabara­n bahawa anak buah saya ditangkap dan terdapat pertukaran pegawai kanan SPRM ke Jabatan Perdana Menteri, saya berasa serba salah serta tidak dapat menahan sebak lalu menangis mengenangk­an nasib mereka,” kata Mohd Shukri.

Mohd Shukri berkata, beliau dan Abu Kassim berjuang untuk negara dan mahu mendapatka­n semula duit rakyat Malaysia tetapi kedua-dua mereka dituduh sebagai pembelot.

Berikutan itu, beliau terus menghantar pesanan ringkas melalui WhatsApp kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Paul Low Seng Kuan meminta mereka mengembali­kan semula pegawainya ke SPRM.

Selepas itu, Mohd Shukri dan Abu Kasim berjumpa dengan beberapa orang menteri untuk meyakinkan mereka bahawa keduadua kes berkenaan adalah benar.

Beliau berkata, walaupun diberi jaminan oleh Shahidan melalui mesej bahawa pegawainya akan dikembali dan dilepaskan, namun beliau tidak mempercaya­i janji menteri berkenaan.

Mohd Shukri membalas mesej itu, “Saya tidak percayakan janji anda, janji politik, I nak anda buat segera, jika tidak saya akan kembali dan menggunaka­n kuasa saya untuk menahan pegawai yang mengeluark­an surat pertukaran kepada pegawai-pegawai.”

Mohd Shukri berkata, beliau tahu kesannya amat besar jika beliau berbuat demikian tetapi semua itu dilupakan kerana tindakan itu dibuat demi negara.

Sekembalin­ya beliau ke Malaysia, Mohd Shukri berjumpa dengan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan beliau bersetuju untuk mengembali­kan pegawai-pegawainya.

Mohd Shukri berkata, usaha untuk mendedahka­n kes ini tidak terhenti walaupun menerima ugutan demi ugutan, malah beliau dan Abu Kassim berpecah untuk berjumpa dengan beberapa menteri bagi meyakinkan mereka bahawa RM42 juta dan RM2.6 bilion adalah kes yang benar.

“Jika sayangkan negara gantikan Najib dengan orang lain, namun hanya tiga menteri yang berani mendedahka­n perkara itu,” katanya.

MohdShukri­berkata, pada peringkat akhir perkhidmat­annya di SPRM pada 2016, beliau ada mendengar desasdesus mengenai pelantikan bekas Ketua Pesuruhjay­a SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad yang akan mengambil alih tampuk kepimpinan SPRM.

Beliau berkata pada ketika itu, Abu Kassim tiada pilihan dan terpaksa mengundurk­an diri dan terdapat cadangan Timbalanny­a Datuk Seri Mustafar Ali menggantik­an tempatnya namun ditolak.

Mohd Shukri berkata, Dzulkifli yang kemudianny­a dilantik menerajui SPRM, sepatutnya membuat kajian menjadikan kes 1MDB lebih kuat (untuk pendakwaan) dan bukannya melindungi pesalah.

“Ini merupakan satu pengkhiana­tan yang besar dan saya tidak akan bekerja di bawah pengkhiana­t. Jadi saya mohon untuk berhenti awal dan saya hanya ambil kursus Bahasa Arab sebagai alasan untuk keluar daripada SPRM,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Shukri mendakwa terdapat seorang Ahli Parlimen dari utara yang mengganggu siasatan 1MDB dan mengajak beliau untuk berunding berhubung perkara itu.

Ahli Parlimen: “You nak apa?” Balas Mohd Shukri, “I nak satu sahaja, jangan campur tangan dalam siasatan saya (1MDB), biar saya selesaikan, Peguam Negara akan buat keputusan (berhubung perkara ini).

“Sekali lagi awak datang (ganggu siasatan 1MDB), saya akan tahan awak,” kata Mohd Shukri yang menggelark­an Ahli Parlimen berkenaan ‘raja wang tunai.’

Tanpa menamakann­ya, Mohd Shukri berkata, Ahli Parlimen berkenaan merupakan orang suruhan yang diarah untuk mengganggu siasatan kes itu.

Selama setahun enam bulan kebelakang­an ini Mohd Shukri berkata, beliau hanya menceritak­an kepada rakyat secara kelompok kecil-kecilan dan tidak membuat ceramah terbuka.

“Saya simpan perkara ini (tidak dedah kes sebenar 1MDB), sampai satu masa Allah beri saya peluang pada hari ini (semalam) untuk menceritak­an perkara sebenar,” katanya.

 ??  ?? BUKAN REKAAN: Mohd Shukri ketika sidang akhbar di ibu pejabat SPRM Putrajaya semalam. — Gambar Bernama
BUKAN REKAAN: Mohd Shukri ketika sidang akhbar di ibu pejabat SPRM Putrajaya semalam. — Gambar Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia