Utusan Borneo (Sarawak)

Warga emas dera kanak-kanak dipenjara sehari dan denda

-

PETALING JAYA: Seorang warga emas yang tular dalam laman sosial kerana mendera seorang kanak-kanak perempuan dengan merotan mangsa dua tahun lepas, dipenjara sehari dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini semalam.

Hakim Norshila Kamaruddin menjatuhka­n hukuman itu terhadap V. Tanawali, 63, setelah wanita itu menukar pengakuan kepada bersalah pada prosiding sambung bicara kes itu selepas seorang saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan.

Mahkamah memerintah­kan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula semalam dan penjara enam bulan lagi sekiranya denda gagal dibayar, tertuduh bagaimanap­un membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa melakukan penganiaya­an terhadap kanak- kanak yang ketika kejadian berusia enam tahun dengan memukulnya menggunaka­n rotan pada bahagian muka, badan serta kedua-dua tangan dan kaki.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan wanita yang menjaga kanak-kanak malang yang kematian ibu itu di sebuah rumah di Taman Puchong Perdana, Jalan Mawar, Bukit Puchong di sini pada jam 11 pagi, September 2016.

Pertuduhan terhadapny­a dikemukaka­n mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanakkanak 2001 yang memperuntu­kkan hukuman denda hingga RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam G. Manimegala­i memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan atas alasan pengakuan bersalah tertuduh menjimatka­n masa mahkamah.

“Hanya tertuduh yang sanggup menjaga mangsa sejak lahir setelah ibu bapanya meninggal dunia... tertuduh juga tidak berniat untuk memukul mangsa dan tindakanny­a hanya bertujuan untuk mendisipli­nkan mangsa,” katanya.

Bagaimanap­un Timbalan Pendakwa Raya V. V. Suloshani memohon mahkamah menjatuhka­n hukuman setimpal dengan mengambil kira kekerapan kes dera membabitka­n kanakkanak.

“Tertuduh juga hanya mengaku bersalah selepas perbicaraa­n kesnya dijalankan dan bukan pada hari dia dituduh,” katanya.

Pada 6 Jun 2017, media melaporkan satu rakaman video selama dua minit 50 saat yang menunjukka­n seorang wanita menampar dan memukul seorang kanakkanak perempuan berulangka­li menggunaka­n rotan tersebar dalam laman media sosial.

Dalam video itu, tertuduh dipercayai mengarahka­n mangsa beredar dari meja makan setelah kanak-kanak tersebut menumpahka­n makanannya sebelum memukulnya berkali-kali hingga dia menangis. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia