Utusan Borneo (Sarawak)

Isu, skandal babit ATM akan disiasat secara mendalam

-

KUALA LUMPUR: Sebarang isu dan skandal yang dikaitkan dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebelum ini akan disiasat secara mendalam sebelum sebarang tindakan diambil terhadap pihak terbabit.

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata beliau perlu mendapatka­n maklumat lanjut daripada semua cabang perkhidmat­an ATM sebelum membuat perincian terhadap beberapa isu dan skandal membabitka­n jabatan itu termasuk isu pembelian kapal selam Scorpene serta isu dibangkitk­an badan bukan kerajaan sebelum ini.

“Kita akan selidik, buat siasatan, kalau atas hearsay (khabar angin), maka akan berlaku kerosakan imej kepada seseorang atau jabatan itu.

“Kalau ada (isu dan skandal) tindakan dengan bukti penyelidik­an yang rapi melalui audit dalaman, penyelidik­an dalaman dan kalau tak mampu kita guna audit luaran atau lebih serius kita bawa ke kabinet,” katanya pada sidang media pertamanya di Kementeria­n Pertahanan di sini semalam.

Berhubung penubuhan Pusat Keamanan Antarabang­sa King Salman, Mohamad berkata perkara itu akan dibincangk­an dengan Perdana Menteri sebelum sebarang keputusan dibuat.

Mohamad yang memulakan tugas rasminya sebagai menteri semalam disambut dengan tabik hormat kawalan kehormatan utama di Dataran Wisma Pertahanan di Jalan Padang Tembak, pagi semalam

Ketibaan beliau disambut Ketua Setiausaha (KSU) Kementeria­n Pertahanan Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi dan Panglima Angkatan Tentera (PAT) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Menteri Pertahanan itu yang hadir dengan memakai sut hitam dan bersongkok kemudianny­a menghadiri sesi perjumpaan bersama KSU dan PAT.

Anggota Parlimen Kota Raja yang juga Presiden Parti Amanah Negara itu adalah antara 13 barisan menteri yang mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Istana Negara semalam.

Mohamad yang lebih popular dengan panggilan Mat Sabu berkata walaupun agak gugup pada hari pertama sebagai Menteri Pertahanan, namun beliau tetap akan mengekalka­n gaya `’Mat Sabu’ yang bersahaja dan santai mengikut kesesuaian majlis serta acara. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia