Utusan Borneo (Sarawak)

Pelarian Rohingya mati terjun dari bas di PNG

-

SYDNEY: Seorang pelarian Rohingya dari Myanmar maut semalam selepas dia terjun dari sebuah bas di sebuah pulau terpencil di Papua New Guinea (PNG), hampir lima tahun selepas dia dihantar ke sana oleh Australia, kata pegawai.

Canberra telah menghantar pencari suaka yang cuba memasuki negara itu dengan menggunaka­n bot ke kem di Pulau Manus PNG atau Nauru di Lautan Pasifik untuk diproses, dan mereka yang didapati pelarian dilarang daripada menetap semula di Australia.

Dasar keras itu bertujuan untuk menghalang orang daripada melakukan perjalanan laut yang berbahaya, tetapi Pertubuhan BangsaBang­sa Bersatu (PBB) dan kumpulan hak asasi manusia lain telah mengkritik keadaan di kem berkenaan dan tempoh penahanan yang lama.

Jabatan hal ehwal dalam negeri Australia mengesahka­n kematian berkenaan tetapi tidak memberi maklumat lanjut.

Ian Rintoul dari Pakatan Tindakan Pelarian memberitah­u AFP, lelaki berusia 32 tahun yang bernama Salim itu, dipercayai terjun dari sebuah bas yang sedang bergerak dekat sebuah pusat peralihan pelarian dan digilis oleh tayarnya, lalu maut di tempat kejadian.

Kebanyakan pencari suaka di Manus percaya lelaki itu membunuh diri, menurut satu kenyataan perikatan.

Dia merupakan pencari suaka ketujuh yang mati di Manus sejak rejim penahanan luar pesisir Canberra bermula pada Julai 2013, selain tiga lagi yang mati di Nauru dalam tempoh yang sama, kata Rintoul.

“Pelarian Rohingya itu sudah lama menderita de- ngan masalah perubatan” dan pernah dihantar ke Australia untuk menerima rawatan, dia menambah dalam satu kenyataan.

Behrouz Boochani, seorang pelarian dari Iran di Manus, tweet semalam bahawa Salim mengalami penyakit epilepsi dan “sudah lama menderita”.

Pelarian yang mati pada masa lalu di Manus termasuk seorang pelarian dari Iran yang dijumpai mati tergantung dari sebatang pokok dekat sebuah sekolah pada Ogos tahun lepas, dan seorang pencari suaka Tamil dari Sri Lanka yang dilaporkan membunuh diri di sebuah hospital dua bulan kemudian.

Kem Australia di Manus ditutup lewat tahun lepas setelah mahkamah PNG memutuskan ia melanggar perlembaga­an, dan 600 tahanan dihantar ke tiga pusat peralihan. Canberra cuba melepaskan mereka yang diiktiraf sebagai pelarian ke negara ketiga seperti Amerika Syarikat, dan lebih seratus sudah menetap semula di sana, menurut laporan.

Namun ratusan lagi kekal di Manus, dan berkata mereka bimbang mengenai keselamata­n mereka di tengahteng­ah kemarahan penduduk tempatan, dan keperluan asas mereka seperti penjagaan kesihatan tidak dipenuhi.

Agensi pelarian PBB berkata kematian Salim menunjukka­n keperluan bagi “penjagaan yang baik dan penyelesai­an segera”.

“Selepas bertahun-tahun berlalu dan penamatan atau penguranga­n khidmat perlu, situasi yang sudah pun tenat bagi pelarian yang amat memerlukan bantuan terus merosot,” kata wakil wilayah UNHCR Nai Jit Lam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia