Utusan Borneo (Sarawak)

Lelaki ditahan bantu siasatan kes tembak di Bukit Mertajam

-

BUKIT MERTAJAM: Seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes tembak melibatkan seorang jurujual telefon bimbit di lampu isyarat di Jalan Sentosa berhampira­n medan selera Taman Sentosa, di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata lelaki berumur 40-an itu ditahan di Tanjung Tokong di bahagian pulau pada jam 10.30 malam, kelmarin.

“Mahkamah Majistret telah mengeluark­an perintah reman enam hari hingga 1 Jun ini,” katanya dalam kenyataan, di sini semalam.

Polis telah mengambil keterangan daripada lima saksi termasuk rakan mangsa serta pemandu Toyota Hilux yang berada di depan kereta mangsa ketika kejadian, bagi membantu siasatan menurut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Katanya mangsa yang cedera pada bahagian lengan dan bahu kanan serta paha kini dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan di Hospital Bukit Mertajam.

Dalam kejadian kira-kira 11.15 pagi itu, lelaki berusia 22 tahun berkenaan baharu saja keluar dari medan selera Sentosa Corner selepas bersarapan bersama rakannya sebelum masuk ke dalam kereta jenis Honda Accord untuk pulang ke rumah di Machang Bubuk, di sini.

Ketika berhenti di lampu isyarat di Jalan Sentosa, di sini tiba-tiba muncul seorang lelaki yang menutup muka daripada sebuah kereta dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah kereta mangsa sebelum melarikan diri. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia