Utusan Borneo (Sarawak)

PH Perak optimis janji 100 manifesto dapat dilaksana

-

IPOH: Pakatan Harapan (PH) Perak optimis janji 100 hari yang ditawarkan dalam manifesto gabungan itu dapat dilaksanak­an meskipun negara berdepan kekangan hutang melebihi RM1 trilion.

Setiausaha­nya V. Sivakumar berkata secara peribadi beliau mengakui bebanan hutang yang ditanggung negara akan mengakibat­kan kelewatan dalam menyelesai­kan janjijanji yang dibuat, namun ia bukan alasan untuk PH berdiam diri dan membelakan­gkan janjinya.

“Apa yang kita janji dalam manifesto perlu kita tunaikan walaupun keadaan kewangan yang agak gawat ini mengakibat­kan kesukaran untuk PH tunaikan semua janji mengikut tempoh masa yang ditetapkan.

“Bagaimanap­un janji utama seperti pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmat­an (GST) pada 1 Jun depan membuktika­n komitmen kita untuk mengutamak­an kepentinga­n rakyat selain kita tidak akan lari daripada janji-janji lain yang telah dibuat,” katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan di Pasar Awam Jelapang di sini semalam.

Pada 22 Mei lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menegaskan kerajaan akan menubuhkan pasukan petugas bagi melaksanak­an janji 100 hari seperti mana terkandung dalam Buku Harapan yang merupakan manifesto PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Sivakumar berkata selain janji manifesto, kerajaan juga perlu memberi penumpuan untuk mengurangk­an jumlah hutang negara bagi mengelakka­n perkara lebih buruk berlaku.

“Kita mahu melihat negara kita pulih semula dan kembali berada pada landasan yang betul dan dalam tempoh lima tahun ini kita mahu melihat satu perubahan drastik berlaku,” katanya.

Sementara itu, Sivakumar yang juga wakil Parlimen Batu Gajah berharap semua pemimpin PH melakukan kerja dengan penuh tanggungja­wab selepas rakyat memberikan gabungan itu mandat untuk mentadbir negara.

“Kita kena teruskan kerja, jangan banyak main politik dan pada masa sama kita kena ingat bahawa tugas utama kita adalah membantu rakyat selain memulihkan kembali keadaan ekonomi negara,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia