Utusan Borneo (Sarawak)

Liga Super: Perak bangkit catat kemenangan dramatik

-

KUALA LUMPUR: Pertemuan Liga Super ‘adik abang’ antara Perak dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) berlangsun­g sengit dan berakhir dengan pasukan tuan rumah Perak mencatat kemenangan dramatik 4-3 pada aksi di Stadium Perak, Ipoh.

Perak terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit kelapan menerusi Norhakim Hassan namun PKNP FC berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-33 menerusi Franklin Anzite untuk keputusan terikat 1-1 pada masa rehat.

Bermula babak kedua, anak buah Abu Bakar Fadzim mempamerka­n aksi bertenaga untuk menyumbat dua gol menerusi Mohamad Syamin Baharuddin (minit ke-60) dan Mohd Hakim Isa (minit ke-68) untuk PKNP FC mendahului 3-1.

Namun segalanya berubah apabila anak buah Mehmet Durakovic mula mendapat rentak untuk meledak dua gol sekali gus menyamakan kedudukan menerusi Mohd Nasir Basharudin dan Wander Luiz masing-masing pada minit ke-76 dan 84.

Penyerang dari Brazil Gilmar Jose Da Silva menjadi wira Perak apabila menyempurn­akan sepakan penalti pada masa kecederaan separuh masa kedua selepas beliau dijatuhkan dalam kotak penalti untuk mengesahka­n kemenangan Perak dan membawa pulang tiga mata.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan berjaya memperoleh­i kemenangan kedua liga yang kali terakhir dimenangi pada Februari lalu ke atas Kuala Lumpur setelah menumpaska­n Kelantan 2-0.

Jaringan skuad Hobin Jang Hobin dijaringka­n oleh pemain pertahanan dari Brazil Alex De Moraes Gomes pada minit ke16 dan penyerang dari Filipina Angel Aldeguer Guirado tenang menyempurn­akan sepakan penalti pada minit ke-37 selepas N. Thabalan dikasari pihak la- wan di dalam kotak penalti.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu mencatat kemenangan tipis 1-0 mengatasi Melaka yang sedang berusaha untuk menjarakka­n diri daripada zon penyingkir­an.

Jaringan tunggal Mohamad Ashari Samsudin pada minit ke-60 sudah cukup untuk memberikan tiga mata berharga buat skuad Sang Penyu mengumpul 21 mata daripada 12 perlawanan.

Pada aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, Selangor gagal menggunaka­n kesempatan beraksi di laman sendiri apabila tunduk 1-2 ke atas Kedah.

Kedah yang beraksi cemerlang seawal permainan, membuka tirai jaringan pada minit ke-28 menerusi Baddrol Baktiar dan Liridon Krasniqi menambah derita anak buah Muhammad Nazliazmi Mohamad Nasir dengan menyumbat gol kedua pada minit ke-52. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia