Utusan Borneo (Sarawak)

Calon PKR fail petisyen cabar keputusan pilihan raya Cameron Highlands

-

KUALA LUMPUR: Calon PKR bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands M. Manogaran memfailkan petisyen pilihan raya di Mahkamah Tinggi di sini bagi mencabar keputusan pilihan raya kawasan itu yang dimenangi calon Barisan Nasional (BN) Datuk C. Sivarraajh.

Managoran, 59, selaku pempetisye­n memfailkan petisyen itu menerusi Tetuan Kumar Associates di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi semalam dengan menamakan Sivarraajh sebagai responden.

Manogaran memohon perisytiha­ran bahawa keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei lepas bagi Parlimen Cameron Highlands terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 atas dakwaan responden merasuah pengundi daripada komuniti Orang Asli untuk mengundiny­a.

Berdasarka­n petisyen itu, Manogaran mendakwa Sivarraajh yang berkempen bersama-sama Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri Jelai yang kini Menteri Besar Pahang, telah memberi rasuah antara RM30 hingga RM1,000 kepada pengundi Orang Asli melalui beberapa Tok Batin bagi memastikan mereka mengundi BN dan tidak mengundi calon-calon lain dengan kawasan itu menyaksika­n pertembung­an lima penjuru.

Manogaran juga mendakwa Wan Rosdy, yang merupakan ADUN Jelai bagi tiga penggal berturut-turut sejak PRU11, amat terkenal di kalangan pengundi di kawasan itu.

Wan Rosdy juga didakwa bertanggun­gjawab untuk memperkena­lkan Sivarraajh kepada pengundi Orang Asli yang sejak dahulu kurang mempercaya­i orang luar, katanya.

Pada PRU14, Sivarraajh memenangi kerusi Parlimen Cameron Highlands dengan memperoleh undian sebanyak 10,307 untuk menewaskan empat calon lain. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia