Utusan Borneo (Sarawak)

Negeri Sembilan sasar duduki lima teratas SUKMA 2018 di Perak

-

SEREMBAN: Negeri Sembilan menyasarka­n untuk meraih 30 pingat emas dan berada dalam kelompok lima teratas pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 di Perak, September depan.

Pengerusi Jawatankua­sa Bertindak Pembanguna­n Belia dan Sukan negeri, Mohamad Taufek Abdul Ghani berkata beliau yakin sasaran itu mampu dicapai kerana kontinjen Negeri Sembilan mempunyai ramai atlet pernah bersaing di peringkat Sukan SEA, Sukan Asia dan kejohanan dunia.

“Misi kita, 18 sukan pilihan utama berupaya menyumbang­kan 30 pingat emas. Sasaran itu bukanlah sesuatu mustahil dan saya yakin kita boleh meraih lebih banyak pingat emas daripada disasarkan itu. Persiapan kontinjen negeri untuk menghadapi SUKMA 2018 berjalan seperti dirancang dan berada di landasan tepat.

“Saya berpuas hati dengan persiapan pasukan dan persatuan bagi setiap acara sukan yang akan disertai. Namun, masih ada beberapa kelemahan tertentu perlu diatasi dengan segera,” katanya.

Beliau ditemui Bernama selepas mempengeru­sikan mesyuarat pengurusan kontinjen SUKMA Negeri Sembilan di sini semalam. Turut hadir Pengarah Majlis Sukan Negeri, Fouzee Abd. Aziz.

Mohamad Taufek berkata Negeri Sembilan akan menyenarai­kan 616 atlet iaitu penyertaan paling besar kontinjen berkenaan pada temasya SUKMA.

Beliau berkata Negeri Sembilan membuat persiapan lebih baik bagi menghadapi saingan SUKMA kali ini, berbanding edisi sebelumnya.

“Tinggal dua bulan untuk kita mantapkan persiapan atlet kita menjelang SUKMA 2018. Esok (hari ini), saya akan mohon bajet tambahan daripada kerajaan negeri untuk kita salurkan peruntukan itu kepada persatuan sukan untuk melancarka­n persiapan mereka,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia