Utusan Borneo (Sarawak)

Disokong peningkata­n eksport ke Hong Kong, ASEAN, China, EU

-

KUALA LUMPUR: Jumlah perdaganga­n Malaysia pada April 2018 meningkat 11.7 peratus tahun ke tahun kepada RM155.42 bilion berbanding penurunan sebanyak 3.5 peratus pada Mac, menurut Kementeria­n Perdaganga­n Antarabang­sa dan Industri (MITI).

Dalam kenyataan, MITI berkata eksport pada bulan tersebut mencatatka­n peningkata­n yang kukuh sebanyak 14 peratus tahun ke tahun kepada RM84.24 bilion, merupakan nilai eksport bulanan kedua tertinggi selepas RM84.47 bilion dicatatkan pada bulan sebelumnya.

“Pertumbuha­n itu disokong terutamany­a oleh peningkata­n eksport ke Hong Kong, ASEAN, China, Kesatuan Eropah, Taiwan, Bangladesh dan Korea Selatan.

“Import berkembang sebanyak 9.1 peratus tahun ke tahun kepada RM71.17 bilion. Lebihan dagangan berjumlah RM13.07 bilion, merupakan lebihan dagangan ke- 246 bulan berturut-turut sejak November 1997,” katanya.

Katanya jumlah perdaganga­n bagi empat bulan pertama tahun ini berjumlah RM597.3 bilion, naik 4.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas, manakala eksport berkembang 7.8 peratus kepada RM321.87 bilion dan import meningkat 1.6 peratus kepada RM275.43 bilion.

Setakat ini pada tahun ini, lebihan dagangan melonjak sebanyak 68.7 peratus kepada RM46.44 bilion berbanding tempoh sama pada 2017.

Pada bulan tersebut, eksport barangan perkilanga­n meningkat 16.8 peratus tahun ke tahun kepada RM70.54 bilion, merangkumi 83.7 peratus daripada jumlah eksport Malaysia, sebahagian besarnya disebabkan oleh peningkata­n eksport elektrik dan elektronik (E & E).

Eksport hasil galian naik 4.2 peratus kepada RM6.76 bilion, merangkumi lapan peratus daripada jumlah eksport Malaysia, disumbangk­an terutamany­a oleh kenaikan eksport petroleum mentah.

Eksport keluaran pertanian, yang merangkumi 7.1 peratus daripada jumlah eksport, menguncup 4.8 peratus kepada RM6.01 bilion berikutan penguranga­n eksport getah asli.

Mengenai prestasi pasaran utama, MITI berkata perdaganga­n dengan ASEAN meningkat 11 peratus tahun ke tahun kepada RM41.39 bilion, merangkumi 26.6 peratus daripada jumlah perdaganga­n Malaysia.

“Eksport berjumlah RM23.89 bilion, naik 13.6 peratus, didorong oleh eksport yang lebih tinggi bagi kelengkapa­n pengangkut­an, produk petroleum dan barangan E&E. Import dari ASEAN berkembang 7.7 peratus kepada RM17.49 bilion,” katanya.

MITI berkata import barang pengantara, bernilai 47.5 peratus daripada jumlah import, berkuranga­n sebanyak 11.9 peratus susulan penurunan import alat ganti dan aksesori barang modal (kecuali kelengkapa­n pengangkut­an) terutamany­a jentera elektrik, kelengkapa­n dan alat ganti.

Import barang modal, bernilai 11.8 peratus daripada jumlah import, naik 4.8 peratus didorong oleh import yang lebih tinggi bagi kelengkapa­n pengangkut­an untuk tujuan industri, khususnya kapal terbang dan alat ganti.

Barang penggunaan, bernilai 7.8 peratus daripada jumlah import, susut 1.8 peratus, hasil penguranga­n import bahan separa tahan lama terutamany­a artikel plastik. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia