Utusan Borneo (Sarawak)

Pegawai AS didakwa jual rahsia negara kepada China AS$800,00

-

WASHINGTON: Seorang pegawai dari Agensi Perisikan Pertahanan Amerika Syarikat ( AS) didakwa kelmarin kerana menjual rahsia AS kepada China sebagai pertukaran untuk sekurang-kurangnya AS$800,000.

Jabatan Kehakiman berkata Ron Rockwell Hansen, 58, dari Syracuse, Utah, ditahan pada Sabtu lepas ketika dia dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabang­sa Seattle-Tacoma di Washington untuk menaiki sebuah pesawat ke China, membawa maklumat rahsia.

Ia adalah antara yang terbaharu dalam satu siri penangkapa­n pegawai AS atas tuduhan mengintip untuk Beijing.

Hansen, menurut dakwaan, telah bersara dari pasukan tentera AS di mana dia berkhidmat dalam perisikan isyarat.

Fasih berbahasa Mandarin dan Rusia, dia direkrut pada 2006 untuk bekerja dengan DIA sebagai seorang pegawai kes – seseorang yang merekrut dan menguruska­n aset perisikan asing.

Berpusat di sebuah pejabat komersil di Beijing, Hansen telah berhubung dengan pihak perisikan China, dan selama beberapa tahun cuba meletakkan dirinya sendiri dengan DIA dan FBI sebagai seorang ejen talam dua muka yang akan bertindak pada dasarnya untuk AS, menurut pertuduhan.

Penyiasat mendapati bahawa dia sering bertemu dengan beberapa ejen perisikan China yang dia tidak pernah laporkan, menggunaka­n telefon bimbit yang diberikan kepada dia oleh sumber dari China dan mendapatka­n maklumat rahsia yang dia tidak sepatutnya boleh miliki.

Mereka turut mendapati Hansen mengalami masalah kewangan yang teruk dari tahun 2013 hingga 2016, dengan hutang berjumlah beberapa ratus ribu dolar.

Semasa dan selepas masa tersebut, dia telah menerima lebih AS$800,000 dalam bentuk bayaran dari China, selalunya wang tunai yang dia bawa ke AS, yang mana dia tidak dapat jelaskan.

Pada awal tahun ini, pihak FBI mendapat tahu bahawa Hansen cuba mendapatka­n maklumat daripada rakan setugasnya di AS mengenai kedudukan AS di Korea Utara dan Korea Selatan, termasuk rancangan operasi ketenteraa­nnya terhadap China, untuk dijual kepada orang hubunganny­a di China. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia