Utusan Borneo (Sarawak)

Lebih 1,000 delegasi uskup Anglikan hadiri Forum Ulang Tahun Ke-170

-

KUCHING: Lebih 1,000 delegasi uskup Anglikan dari seluruh Sarawak dan Brunei menghadiri Forum Ulang Tahun Ke-170 di sebuah hotel di sini, semalam.

Forum tersebut menghimpun­kan delegasi dari kalangan uskup, paderi, pemimpin gereja dan ahli-ahlinya dari 40 gereja Anglikan di Sarawak dan Brunei.

Antara yang hadir, Uskup Gereja Anglikan di Sarawak dan Brunei Rt Rev Danald Jute dan pembantu Uskup Rt Rev Aeries Sumping Jingan.

Turut hadir bekas Uskup Gereja Anglikan di Sarawak dan Brunei Rt Rev Datuk Bolly Lapok yang diundang sebagai penceramah forum.

Bertemakan ‘Mencapai Ke Hadapan’, forum ini adalah sebahagian daripada program sempena memperinga­ti ulang tahun ke-170 Gereja Anglikan di Borneo.

Forum ini juga bagi menyambut ketibaan Rev Dr Francis Thomas McDougall di Sarawak pada 29 Jun 1848 bagi memulakan misi mubalighny­a di sini.

Dalam pada itu, acara forum tersebut dimulakan dengan doa pembukaan oleh Dekan Katedral St Thomas Rev Kho Thong Meng diikuti forum yang dibahagika­n kepada tiga sesi.

Sesi pertama forum dimulakan oleh Rt Rev Aeries yang berkongsi mengenai sejarah awal kedatangan Gereja Anglikan di Sarawak dan sumbangan wanita kepada mubaligh oleh Heidi Munan.

Sesi kedua forum diteruskan oleh dua lagi penceramah iaitu Rt Rev Datuk Bolly dan Rev Andrew Shie mengenai perkembang­an masa kini Gereja Anglikan di Sarawak dan Borneo.

Sebelum penutupan oleh Danald, beliau sendiri menyampaik­an ceramah mengenai masa depan Gereja Anglikan bersama Rev Ivor Emmanuel Lim.

Selain itu, terdapat juga pameran fotografi mengenai sejarah Gereja Anglikan di Sarawak untuk tatapan para delegasi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia