Utusan Borneo (Sarawak)

Sarawak merekodkan 208 kes denggi sehingga 2 Jun

-

SIBU: Sarawak merekodkan sebanyak 208 kes denggi antara 1 Januari hingga 2 Jun tahun ini dan jumlah kes turun sebanyak 64.5 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak ( JKNS) dalam satu kenyataan media kelmarin menyatakan bahawa bahagian Samarahan merekodkan kes paling tinggi iaitu sebanyak 38 kes.

Diikuti Kuching dan Sibu dengan 33 kes, Betong dan Kapit masing-masing 21 kes, Miri (19), Sri Aman (11), Bintulu (9), Serian, Mukah dan Limbang masing-masing (6) dan Sarikei (5).

Bagaimanap­un, kenyataan media itu juga menyatakan tiada kes demam berdarah dilaporkan di Sarawak sehingga kini.

Menurut JKNS, hanya satu kematian akibat denggi dilaporkan di negeri ini tahun ini. Selain itu, tiada titik panas denggi di Sibu pada masa ini.

Sementara itu, orang ramai dinasihati melakukan langkah pencegahan seperti memastikan tiada bekas atau tempat yang berpotensi menjadi kawasan pembiakan nyamuk aedes dalam atau luar kediaman.

Memeriksa tempat pembiakan nyamuk perlu dilakukan sekurang-kurangnya sekali seminggu kerana larva aedes hanya memerlukan satu minggu berkembang menjadi nyamuk dewasa.

Orang ramai dinasihatk­an menggunaka­n semburan aerosol membunuh nyamuk apabila mereka berada di rumah selain menggunaka­n sapuan penghalau nyamuk di bahagian badan terdedah kepada gigitan nyamuk terutama tempoh aktif nyamuk jam 5 dan 7 pagi serta 5 petang dan 7 malam.

Orang ramai juga dinasihati memakai baju lengan panjang dan seluar panjang apabila keluar pada waktu pagi atau petang.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia